EKONOMI

Untung Bersih Suku Pertama Petronas Dagangan Susut Kepada Rm226.04 Juta

23/05/2024 02:34 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 menyusut kepada RM226.04 juta daripada RM301.84 juta tahun lepas.

Bagaimanapun, hasil meningkat kepada RM9.39 bilion daripada RM8.65 bilion sebelum ini berikutan pertumbuhan volum jualan sebanyak 7.0 peratus dan kenaikan 2.0 peratus bagi purata harga jualan daripada segmen runcit, komersial dan kemudahannya.

Menurut syarikat, hasil yang lebih baik turut didorong oleh kesan berterusan daripada kempen promosi, pertumbuhan dalam sektor pengangkutan serta peningkatan semula trafik penumpang yang dipacu pelancongan.

"Bagaimanapun, keuntungan telah terkesan dengan kos produk dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia. 

Hasil segmen runcit meningkat sebanyak RM636.9 juta atau 14 peratus, disumbangkan terutama oleh volum jualan yang lebih tinggi sebanyak 13 peratus manakala segmen komersial meraih pertambahan hasil sebanyak RM104.8 juta atau tiga peratus, terutama disebabkan purata harga jualan yang lebih tinggi sebanyak 6.0 peratus, mengimbangi volum jualan yang lebih rendah iaitu tiga peratus.

Bagi segmen kemudahan, hasil menokok sebanyak RM5.9 juta atau 9.0 peratus, disumbangkan oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap Kedai Mesra dan Café Mesra pada suku berkenaan.

Mengenai prospek, Petronas Dagangan menjangkakan segmen perniagaan runcit dan komersial akan terus berkembang, didorong oleh aktiviti ekonomi domestik yang kukuh dan pemulihan industri penerbangan manakala segmen kemudahan terus tertumpu untuk memperluas tawaran Café Mesra dan Kedai Mesra.

“Kumpulan kekal teguh untuk mengekalkan prestasinya pada sepanjang tahun, meningkatkan operasi perniagaan teras dan mendorong pertumbuhan selanjutnya, di samping memantau dengan berhati-hati kesan berpotensi yang mungkin berlaku daripada perubahan kawal selia dalam negara serta cabaran global,” katanya.

Syarikat telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 18 sen sesaham biasa bagi suku pertama, yang mesti dibayar pada 19 Jun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan