EKONOMI

GEOPOLITIK, PENDIGITALAN DAN PERUBAHAN IKLIM BERKAIT RAPAT DALAM PENGGUBALAN DASAR - PM ANWAR

23/05/2024 01:53 PM

Daripada Noor Soraya Mohammad Jamal

TOKYO, 23 Mei (Bernama) -- Penggubalan dasar ekonomi pada 2020-an dan seterusnya perlu mengambil kira keadaan yang merangkumi tiga aliran mega global: geopolitik, pendigitalan dan perubahan iklim, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata walaupun kalangan negara mungkin tidak mempunyai kawalan terhadap faktor luaran yang membawa bencana di tempat lain di peringkat global dan menimbulkan jejak cabaran ekonomi di negara sendiri, langkah pencegahan awal yang jelas meningkatkan keyakinan bahawa kedudukan ekonomi Malaysia tidak akan goyah.

Sebagai tindak balas, Malaysia melancarkan tiga rangka kerja dasar utama baru-baru ini untuk memberikan lebih kepastian, kejelasan dan ketelusan mengenai masa depan ekonomi, kata Anwar pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-29, juga dikenali sebagai Persidangan Nikkei, di sini, pada Khamis.

“Pelan tindakan strategik ini menunjukkan peranan Malaysia dalam membina kepimpinan Asia dalam domain ekonomi, digital dan kemampanan. Sememangnya, ketidaktentuan di luar negara hanya mengukuhkan azam kami untuk berpandangan jauh ke hadapan dan proaktif demi kepastian dasar domestik dan mewujudkan masa depan yang makmur untuk semua,” kata beliau.

Rangka kerja pertama, Ekonomi MADANI, menggariskan strategi untuk pembangunan yang mampan dan inklusif.

“Pada terasnya adalah kepentingan iaitu bukan sahaja meningkatkan siling bagi pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sebenar dalam julat 5.5 hingga 6.0 peratus setahun, malah juga melonjakkan lantai untuk memastikan hasil kemakmuran dikongsi secara saksama dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Rangka kerja Ekonomi MADANI hampir sejajar dengan dasar Bentuk Baharu Kapitalisme oleh Perdana Menteri (Fumio) Kishida, menggariskan hubungan erat dan aspirasi bersama antara negara kita,” kata beliau.

Anwar juga mengetengahkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 sebagai dasar utama kedua Malaysia, mewakili pendekatan kerajaan yang komprehensif terhadap dasar perindustrian.

“Kita telah mula bergerak pantas dengan menghimpunkan kalangan pihak berkepentingan dari sektor awam dan swasta untuk memetakan hala tuju bagi sektor strategik khusus, seperti semikonduktor dan keluli.

“Kejayaan pelaksanaan rancangan ini akan membolehkan kami meraih manfaat daripada pencapaian pihak lain di rantau ini dan membawa kami lebih dekat untuk mencapai status pendapatan tinggi menjelang akhir dekad ini,” kata beliau.

Terakhir, beliau menyentuh mengenai Pelan Peralihan Tenaga Negara, yang merangkumi strategi Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar bersih pada 2050.

Usaha itu melibatkan pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga; tenaga boleh baharu; hidrogen; infrastruktur hijau; serta penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon untuk meningkatkan daya tahan iklim Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan