EKONOMI

KERANCAKAN INDUSTRI SEMIKONDUKTOR PERKUKUH PERANAN MALAYSIA SEBAGAI RAKAN KONGSI SERANTAU BOLEH DIPERCAYAI - PM ANWAR

23/05/2024 01:18 PM

Daripada Noor Soraya Mohammad Jamal

TOKYO, 23 Mei (Bernama) -- Industri semikonduktor Malaysia yang berkembang pesat memperkukuh kedudukannya sebagai rakan kongsi serantau boleh dipercayai dalam pembuatan, perdagangan dan inovasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, Malaysia berbangga mempunyai pangkalan pembuatan yang teguh, terutama dalam industri elektrik dan elektronik global.

Bercakap pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-29 (Persidangan Nikkei), Anwar mengetengahkan daya tarikan Malaysia dalam keadaan ketegangan yang semakin meningkat dan sekatan perdagangan mikrocip.

Beliau berkata berlandaskan kestabilan, tenaga kerja mahir serta pendirian berkecuali berkaitan ekonomi dan geopolitik, Malaysia adalah destinasi selamat untuk pelabur.

“Buktinya adalah pada angka. Pada 2023, Pulau Pinang -- tempat asal saya -- ...hab semikonduktor Malaysia -- menarik FDI (pelaburan langsung asing) berjumlah US$13 bilion, melebihi jumlah terkumpul selama tujuh tahun sebelumnya.

“Kami menetapkan sasaran masa depan kami melalui tumpuan yang semakin strategik terhadap aktiviti bahagian hadapan, seperti fabrikasi wafer, reka bentuk litar bersepadu dan pembungkusan termaju,” kata beliau di hadapan kira-kira 300 peserta forum itu.

Anwar juga menyuarakan penghormatan atas peranan dan sokongan Jepun dalam kemajuan ekonomi Malaysia.

“Sejujurnya, ini tidak mungkin dicapai tanpa Jepun dan rakan kongsi kami yang lain di rantau ini. Kami masih mengingati permulaan yang kecil di Pulau Pinang pada 1970-an, apabila syarikat seperti Clarion dan Hitachi, adalah sebahagian daripada ‘Lapan Samurai’ -- gelombang pertama pelaburan pembuatan produk elektrik dan elektronik (E&E) ke dalam negara. 

“FDI Jepun yang rancak telah menjadi faktor penting dalam kejayaan industri semikonduktor Malaysia, dan ini benar malah sehingga hari ini, dengan pelaburan berskala besar datang daripada Kaga Electronics dan Ferrotec baru-baru ini,” kata beliau.

Anwar berkata Jepun dan Malaysia berkongsi visi yang sama untuk masa depan Asia berlandaskan kestabilan, kesalinghubungan dan kerjasama dalam menyokong perintah berasaskan peraturan, justeru beliau yakin hubungan kedua-dua negara akan semakin berkembang kukuh pada masa hadapan.

“Perdana Menteri Kishida dan saya telah menghadiri dua mesyuarat sidang kemuncak pada November dan Disember, mencapai matlamat bagi peningkatan hubungan dua hala kita kepada Perkongsian Strategik Komprehensif. Kami juga memperluas kerjasama dalam bidang keselamatan, bekerjasama dalam lingkungan keselamatan maritim,” kata beliau.

Jepun ialah rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut. Pada 2023, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun bernilai RM156.64 bilion (US$34.39 bilion).

Sementara itu, Malaysia terus membina keupayaan dalam sektor lain sejajar dengan trajektori kekompleksan ekonomi negara kepada bahan kimia, aeroangkasa, farmaseutikal, peranti perubatan, ekonomi digital, kenderaan elektrik, bahan termaju dan industri asas tani.

Anwar juga menekankan keterbukaan Malaysia dari segi perdagangan dan pelaburan dalam pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama, dibuktikan menerusi prestasi FDI pada 2023, yang merekodkan peningkatan 15 peratus berbanding angka pada 2022, dengan pelaburan asing yang diluluskan mencecah RM188 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan