AM

KETEGASAN PERDANA MENTERI CERMIN KESERIUSAN BENDUNG PELAMPAU DALAM NEGARA

23/05/2024 10:51 AM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan keras terhadap pelaku, pelampau serta penghasut yang terlibat dalam beberapa insiden keganasan baru-baru ini, mencerminkan keseriusan kepimpinan negara dalam membendung jenayah itu. 

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata ini kerana pelampau merupakan golongan mempunyai ideologi dan anasir subversif yang boleh mengancam keselamatan dan menggugat ketenteraman awam.

“Walaupun perbuatan ini berlaku agak terpencil tetapi mesti dibendung kerana kita tidak mahu akhirnya ia membarah dan menjadi perkara biasa dalam masyarakat. 

“Apabila kerajaan mengetatkan keselamatan dan memastikan aktiviti seperti ini dapat dihapuskan, maka negara kita kekal aman dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih tenteram pada masa akan datang,” katanya.

Dua hari lepas dalam Perutusan Negara, Anwar berkata terdapat usaha untuk mengeruhkan keadaan Malaysia yang aman dengan ekonomi mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan ketika ini, dan beliau menegaskan kerajaan akan bertindak keras terhadap gerombolan tersebut. 

Mazlan berkata jaminan Perdana Menteri bahawa keadaan akan bertambah tenang dan terkawal selepas ini juga memberi keyakinan bahawa Malaysia adalah sebuah negara selamat dan menggambarkan bahawa perkara yang berlaku itu tidak mencerminkan suasana sebenar Malaysia.

Malah Malaysia mendapat pengiktirafan dunia apabila menduduki tangga ke-19 bagi Indeks Keamanan Dunia dengan 1.513 mata daripada 163 negara di dunia.

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Dr Azmi Hassan berkata ketegasan serta kepantasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal insiden baru-baru ini juga memberi keyakinan kepada rakyat bahawa negara sememangnya dalam keadaan selamat.

Beliau berkata walaupun wujud kebimbangan mengenai rentetan insiden seperti di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Istana Negara, dan Balai Polis Dato Keramat, Pulau Pinang, namun kerajaan telah menjelaskan bahawa tiada konspirasi terhadap ketiga-tiga kejadian itu yang tiada kaitan antara satu sama lain.

“Ketiga-tiga kejadian ini tiada kena mengena (antara satu sama lain), jadi ini dikatakan sesuatu yang baik dibuat oleh kerajaan, (kerana) bukan sahaja ketegasan (dalam mengambil tindakan), tetapi memberi penerangan kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Azmi berkata insiden itu juga tidak memberi kesan kepada kemasukan pelancong asing dan ekonomi negara memandangkan kerajaan dilihat dapat mengawal keadaan semasa.

Katanya, disebabkan itu juga kerajaan luar seperti Singapura dan Amerika Syarikat (AS) tidak mengeluarkan sebarang amaran perjalanan kepada rakyat masing-masing kerana mereka berpandangan insiden yang berlaku di Malaysia adalah kejadian terasing dan bukanlah satu komplot.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan