SUKAN

SHAH FIRDAUS BERGELUT DENGAN KECEDERAAN, JANGKITAN BAKTERIA MENJELANG PARIS 2024

23/05/2024 10:04 AM

NILAI, 23 Mei (Bernama) -- Berbaki kira-kira dua bulan sebelum Sukan Olimpik 2024, pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dikhabarkan sedang bergelut dengan kecederaan serta jangkitan bakteria dialaminya ketika ini.

Menurut beliau, keadaan itu sedikit sebanyak mengganggu persiapannya untuk membuat penampilan kali kedua di pentas Olimpik di Paris pada Julai ini.

Muhammad Shah Firdaus berkata beliau baru dimaklumkan oleh Institut Sukan Negara (ISN) mengenai tendon di sebelah bahu kirinya koyak kesan daripada kemalangan dialaminya ketika tayar basikal meletup sewaktu mengejar motosikal di hadapannya pada sesi latihan di Velodrom Nasional pada Januari lepas.

“ISN ada buat MRI (pengimejan resonans magnetik) dan mereka menunjukkan gambar tendon bahu saya koyak jadi disebabkan itu pergerakan saya terganggu.

“Doktor juga cadangkan untuk lakukan suntikan bagi membantu bahu saya pulih dengan cepat sebelum menjalani latihan di Eropah nanti,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2024 semalam.

Muhammad Shah Firdaus yang mewakili Johor, menyumbang pingat perak dalam acara keirin lelaki elit di belakang jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang mewakili Terengganu manakala adiknya Muhammad Ridwan pula gangsa.

Mengenai jangkitan bakteria, atlet berusia 28 tahun itu berkata beliau mula mengalami perubahan dalam badannya termasuk kerap menggigil selain kesakitan otot sewaktu beraksi pada Piala Trek Jepun di Velodrom Izu, Shizuoka baru-baru ini.

“Kadang-kadang latihan, okey namun esok pula rasa tak larat, macam ada yang tak kena. Lepas perlumbaan tadi badan menggigil, saya tidak pernah rasa sebegitu namun nasib baik berjaya habiskan perlumbaan dan syukur tidak pengsan atau kemalangan,” katanya.

Muhammad Shah Firdaus berkata beliau ketika ini bergantung kepada ubat antibiotik yang dibekalkan doktor bagi membunuh kuman dalam badannya susulan jangkitan tersebut.

Sementara itu, beliau yang bakal menjalani fasa latihan akhir di Eropah bulan depan, akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini termasuk kemalangan.

“Saya hanya mahu pastikan tidak boleh jatuh lagi kerana apabila terjadi, ia memang akan ganggu latihan seminggu hingga dua minggu disebabkan perlu jalani tempoh pemulihan.

“Saya akui memang bergelut sejak kebelakangan ini namun hanya perlu bersabar dan percaya Allah SWT akan beri ganjaran nanti,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan