SUKAN

PIALA DUNIA SEPAK TAKRAW: THAILAND TERSUNGKUR LAGI, MALAYSIA JUARAI ACARA REGU

23/05/2024 12:35 AM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Skuad kebangsaan berhasil menamatkan penguasaan gergasi sepak takraw, Thailand selepas menundukkan pasukan itu 2-0 pada final acara regu divisyen premier kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa di sini malam ini.

Trio negara diketuai Farhan Adam (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) membuktikan sudah tiba masanya Malaysia kembali digeruni selepas mendominasi sebahagian besar permainan selama sejam menewaskan musuh tradisi yang juga juara bertahan itu, 15-8 dan 15-12.

Kemenangan dilakar itu sekali gus menebus kekecewaan Malaysia pada edisi Piala Dunia 2022 di Korea Selatan yang menyaksikan skuad negara tewas di perlawanan akhir kepada Thailand.

Pada set pertama, Malaysia memulakan perlawanan cukup cemerlang dengan sebahagian besar servis dijana sempurna hingga memaksa Thailand akur dengan keampuhan skuad negara.

Thailand diketuai Poramet Siriswat (apit kiri), Sittipong Khamchan (tekong) dan Varayut Jantarasena (apit kanan) terdesak untuk menang selepas ketinggalan 5-11, membawa masuk tekong berpengalaman mereka Siriwat Sakha bagi mendapatkan mata daripada servis namun ia tidak mengubah keadaan.

Thailand yang memerlukan kemenangan di set kedua menggunakan pelbagai taktikal dengan harapan boleh mengheret perlawanan ke set penentuan, namun kemasukan Muhammad Haziq Hairul Nizam membantu skuad negara mendapatkan mata melalui servisnya sekali gus mengesahkan kemenangan dengan bergaya.

Sementara itu, Farhan ketika ditemui selepas perlawanan tersebut menyifatkan kemenangan yang sudah lama diidam-idamkan negara itu adalah hasil daripada semangat berpasukan. 

“Kemenangan malam ini bagi acara double dan regu merupakan kenangan paling manis dalam karier saya. Menentang musuh tradisi Thailand bukan sesuatu yang mudah kerana kita selalu kalah dengan mereka,” katanya.

Ia merupakan kemenangan berganda skuad negara apabila turut mencipta sejarah menundukkan negara dengan julukan Gajah Putih itu dalam aksi final acara double dengan keputusan 2-0 (17-16, 15-13) yang turut berlangsung malam ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan