AM

Parti Liar Di Terengganu: Polis Tunggu Perjumpaan Exco Dengan Pemilik Resort

22/05/2024 08:13 PM

KUALA TERENGGANU, 22 Mei (Bernama) -- Polis Terengganu akan menunggu perjumpaan antara kerajaan negeri dengan pemilik sebuah resort persendirian di Pulau Lang Tengah di sini, sebelum menjalankan siasatan dan tindakan lanjut berhubung dakwaan menganjurkan sebuah parti liar di pulau peranginan tersebut. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya bagaimana pun belum menerima sebarang laporan berkenaan isu tersebut yang tular di media sosial baru-baru ini. 

“Kita bergantung kepada perjumpaan antara exco (Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris) dengan pemilik resort yang dijadualkan esok.

“Bagaimana pun setakat ini, polis tidak menerima sebarang laporan berkenaan perkara tersebut. Kawasan peranginan itu juga adalah kawasan persendirian yang khas untuk pelancongan dan tidak ada orang kampung pun di sana,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau menambah, pihak polis juga tidak menerima sebarang permohonan permit penganjuran parti di pulau tersebut.

Baru-baru ini tular poster dan gambar memaparkan wanita berpakaian tidak sopan menghadiri sebuah parti liar dinamakan Aloha Party yang didakwa diadakan di Pulau Lang Tengah.

Ia menimbulkan reaksi kurang senang sesetengah pihak dengan menyifatkan parti tersebut tidak sesuai diadakan di Terengganu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan