AM

TINDAKAN PANTAS KILANG SARUNG TANGAN BERJAYA ELAK PENCEMARAN

22/05/2024 08:33 PM

ALOR SETAR, 22 Mei (Bernama) -- Tindakan pantas sebuah kilang memproses sarung tangan getah di Sungai Petani berjaya menghalang tumpahan bahan mentah sekali gus dapat menghindarkan pencemaran alur air berhampiran premis berkenaan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya menerima laporan daripada Orang Yang Berwibawa (OYB) dari kilang itu yang memaklumkan berlaku limpahan getah asli cecair bercampur bahan kimia ke dalam longkang kilang berkenaan pada 9 pagi.

“Tumpahan bahan mentah itu disebabkan kebocoran saluran bahan mentah ke kawasan memproses. Bagaimanapun, pihak kilang telah menjalankan kerja-kerja kawalan tumpahan serta pembersihan sebaik tumpahan dikesan dengan pemantauan OYB yang juga pekerja kilang yang terlatih dan berdaftar dengan JAS.

“JAS Kedah telah ke lokasi dan menjalankan pemantauan terhadap kerja-kerja pembersihan yang dilakukan. Kerja-kerja pembersihan selesai sepenuhnya pada 2.16 petang. Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang pencemaran berlaku kepada alur air di kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pembersihan itu disalurkan ke sistem pengolahan efluen premis berkenaan dan sebahagiannya dilupuskan sebagai buangan terjadual ke premis yang dilesenkan oleh JAS.

“JAS berpuas hati dengan tindakan OYB dan petugas kilang yang melaporkan kejadian itu serta mengambil tindakan segera bagi mencegah berlakunya pencemaran alam sekitar.

“Kita berharap OYB memainkan peranan dalam pengurusan operasi kilang serta membantu atau menasihatkan pihak premis dan industri dalam aspek kawalan pencemaran terutamanya mengenai pematuhan kendiri di premis sebagai langkah mengelakkan berlakunya pencemaran lebih serius,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan