SUKAN

PENG SOON-YEE SEE UCAP SELAMAT TINGGAL KEPADA ARENA BADMINTON NEGARA

22/05/2024 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Selepas mengharungi pelbagai rintangan dalam arena badminton, beregu campuran profesional negara Chan Peng Soon-Cheah Yee See mengucapkan selamat tinggal kepada "lubuk rezeki" mereka setelah meraih pelbagai kejayaan di peringkat dalam dan luar negara. 

Pengumuman itu hadir setelah Peng Soon dan Yee See tumpas 10-21, 6-21 kepada Cheng Xing-Li Qian dari China pada pusingan pertama Masters Malaysia 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. 

Mengimbas kembali karier bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Peng Soon berkata beliau pernah tidak mempunyai gaji selama enam bulan kerana dalam peringkat percubaan untuk diserap masuk badan induk itu ketika berusia 18 tahun. 

Peng Soon, 36, malah pernah meragui sekiranya sukan badminton merupakan kerjaya sesuai untuk "mengabdikan" dirinya pada masa hadapan. 

“Dari (peringkat) negeri (Pulau Pinang) masuk BAM, enam bulan tiada gaji, namun saya tidak (menyesal sertai dunia badminton) kerana dapat lihat banyak budaya di luar negara … kepada pemain muda, jika mahu menjadi pemain kebangsaan dengan taraf dunia, perlu berusaha keras tiada jalan singkat," katanya.

Ditanya sama ada kejayaan meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Goh Liu Ying merupakan detik terindah dalam hidupnya, Peng Soon bersyukur banyak pihak mula menyedari kewujudan kategori beregu campuran dalam dunia badminton.

Beliau bagaimanapun merasakan kategori berkenaan sehingga kini tidak dilihat sebagai acara sepenting kategori perseorangan ataupun beregu lelaki dan wanita. 

Peng Soon berkata beliau akan fokus kepada Akademi Badminton Chan Peng Soon (CPS) selepas ini, selain mempertimbangkan sekiranya mendapat tawaran menjadi jurulatih termasuk daripada BAM. 

Sementara itu, Yee See, 29, berkata faktor umur bukanlah menjadi penyebab beliau menoktahkan perjuangan dalam dunia badminton, sebaliknya merasakan sudah sampai masa untuk mencari "nafas" baharu. 

Kenangan terindah dalam hidupnya menurut Yee See, adalah semasa menjadi penyumbang mata pada Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland. 

Peng Soon sebelum ini meninggalkan BAM pada 2019, meneruskan karier sebagai pemain beregu campuran profesional bersama pasangannya, Goh Liu Ying.

Mereka berjaya melayakkan diri untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik 2020, penampilan kali ketiga selepas kejayaan meraih pingat perak pada temasya di Brazil pada 2016, di samping kemunculan sulung pada 2012.

Namun, Peng Soon dan Liu Ying memutuskan untuk berpisah pada 2021 dan menyaksikan beliau bergandingan bersama Yee See pada 2022, dan pernah merangkul gelaran Masters Kuala Lumpur 2023. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan