SUKAN

PIALA ASIA: MUHAMMAD NAJMI SELAMATKAN MALAYSIA, BANGKIT IKAT KAZAKHSTAN

22/05/2024 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Tonggak pertahanan negara Muhammad Najmi Farizal Jazlan meledak dua gol dalam tempoh seminit bagi membantu skuad hoki dalam dewan lelaki negara bangkit dari ketinggalan untuk mengikat Kazakhstan 3-3 pada perlawanan kedua Kumpulan B Piala Asia Hoki Dalam Dewan 2024 di Taldykorgan, hari ini.

Tatkala perlawanan seakan memihak kepada tuan rumah, Muhammad Najmi muncul wira menyelamatkan maruah Malaysia yang turun selaku juara bertahan di penghujung perlawanan apabila menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-38 dan ke-39 bagi membolehkan pasukan kebangsaan mencuri satu mata.

Terdahulu, Malaysia ketinggalan seawal minit kedua apabila Tashkeyev Yermek menjaringkan gol padang sebelum penyerang Faridzul Afiq Mohd menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-15.

Bagaimanapun, kedudukan tersebut hanya bertahan selama dua minit apabila Tashkeyev sekali lagi merobek gawang pasukan Malaysia dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum Duisengazy Agymtay menambah jaringan menerusi gol padang pada minit ke-34 sebelum Muhammad Najmi memusnahkan impian Kazakhstan merakam kemenangan kedua selepas membenam Indonesia, 6-2, semalam.

Ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki negara Mohd Rodzhanizam Mat Radzi lega kerana dapat mengelak kekalahan ketika menentang Kazakhstan dan berharap anak buahnya dapat menggunakan masa rehat yang singkat untuk bersiap sedia mengutip tiga mata pada aksi terakhir kumpulan menentang Indonesia yang juga juara Sukan SEA 2023 malam ini.

“Malam ini kami akan turun dengan matlamat mencari kemenangan ke atas Indonesia dan kami tidak akan mengambil mudah mahu pun leka pada aksi itu nanti,” katanya dalam satu kenyataan oleh Konfederasi Hoki Malaysia.

Semalam, Malaysia membuka tirai kempen dengan bergaya apabila membelasah Oman 10-2.

Di pusingan kedua, dua pasukan teratas setiap kumpulan akan diletakkan dalam Kumpulan C manakala pasukan lain akan diletakkan dalam Kumpulan D.

Dua pasukan teratas dalam Kumpulan C bukan sahaja layak beraksi di pentas final malah layak secara automatik ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025.

Malaysia mencipta sejarah pada edisi 2022 di Bangkok apabila merangkul kejuaraan sulung dengan menumpaskan juara lapan kali Iran, 3-2, menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 dalam masa sebenar perlawanan.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan