SUKAN

SINDHU HARAP AKHIRI KEMARAU JUARA DI MALAYSIA SEBAGAI SUNTIKAN SEMANGAT KE OLIMPIK

22/05/2024 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Bekas juara dunia perseorangan wanita, PV Sindhu berharap untuk menamatkan kemarau gelaran hampir dua tahun dengan menjuarai kejohanan badminton Masters Malaysia di Axiata Arena bagi kali ketiga, sekali gus sebagai suntikan semangat menjelang Olimpik Paris 2024 pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Pemain nombor 15 dunia dari India itu, yang kali terakhir merangkul gelaran di Terbuka Singapura pada 2022, percaya prestasi memberangsangkan dalam beberapa kejohanan Jelajah Dunia lepas akan meningkatkan keyakinannya dalam memburu pingat Olimpik ketiganya dalam penampilan kali ketiga di temasya sukan dunia itu.

Sindhu, 28, sebelum ini merangkul pingat perak semasa penampilan sulung dalam Sukan Olimpik 2016 di Rio dan pingat gangsa di Tokyo 2020 yang tertangguh akibat COVID-19.

“Saya telah membuat persiapan dan latihan yang baik bagi kejohanan ini. Saya berharap untuk menang gelaran tetapi ketika ini fokus pada setiap pusingan dan memberikan 100 peratus dalam setiap perlawanan, barulah secara automatik dapat meningkatkan keyakinan.

“Julai tak lama lagi, jadi sangat penting untuk berada pada prestasi terbaik ketika Olimpik nanti dan memberikan 100 peratus kerana ketika itu setiap orang sudah pasti berada pada tahap tertinggi mereka, dan saya masih berharap untuk merangkul pingat,” katanya kepada pemberita hari ini.  

Terdahulu, juara dunia 2019 itu menumbangkan Kirsty Gilmour dari Scotland, 21-17, 21-16 dalam pusingan pertama Masters Malaysia yang berstatus Super 500 dengan menerima sorakan daripada penonton tempatan, untuk berdepan pemain Korea Selatan, Sim Yu Jin, esok.

Dalam pada itu, Sindhu berkata dia menjangkakan saingan sengit pada Olimpik kali ini berbanding edisi terdahulu. 

“Hampir semua pemain nombor satu hingga 15 dunia berada pada tahap yang sama. Walaupun ini Olimpik ketiga saya, ia sentiasa berubah kerana temasya tersebut hanya sekali dalam empat tahun. Pemain dan tahap permainan juga berbeza, jadi saingan sudah tentu lebih sengit pada 2024 ini,” katanya.

Walaupun dijadual bermain pada kejohanan berstatus lebih tinggi iaitu Terbuka Singapura Super 750 minggu depan (28 Mei-2 Jun) dan Terbuka Indonesia Super 1000 (4-9 Jun), Sindhu berkata ia masih bergantung kepada keadaan fizikal dan mentalnya.

Sindhu, yang memiliki keseluruhan lima pingat kejohanan dunia, belum meraih sebarang kejuaraan sejak kembali daripada kecederaan lutut awal tahun ini. 

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan