AM

TEMPUH PERJALANAN TIGA JAM UNTUK JUAL TUHAU DI TAMU PEKAN TENOM

22/05/2024 04:45 PM

TENOM, 22 Mei (Bernama) -- Setiap hari Rabu, Nora Lakiu, 27, akan bangun seawal pukul 2 pagi untuk bersiap sedia menempuh perjalanan selama kira-kira tiga jam membawa hasil tanaman tuhaunya dari Kemabong untuk diniagakan di tamu atau pasar minggu di sini.

Wanita dari suku kaum Murut itu berkata selain tuhau, beliau turut membawa beberapa hasil bumi lain seperti bunga kantan serta pucuk rotan untuk dipasarkan, dan biasanya beliau akan sampai di tapak tamu itu menjelang terbit matahari.

Beliau berkata pokok-pokok tuhau sepanjang kira-kira satu meter yang dibawanya ke pasar tamu itu akan dibuang kulitnya terlebih dahulu sebelum dijual pada harga RM3 satu plastik.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata pokok tuhau yang diniagakan itu hidup subur dan dipetik di atas tanahnya sendiri seluas enam hektar (15 ekar) di Kemabong.

"Pokok tuhau ini senang dijaga, lepas ditanam ia boleh hidup dan membiak sampailah jadi banyak,” katanya ketika ditemui Bernama di Tamu Pekan Tenom di sini hari ini yang terletak di kawasan pedalaman Sabah sekitar 150 kilometer arah Selatan dari Kota Kinabalu.

Nora berkata selain tamu mingguan Pekan Tenom, beliau juga membawa jualannya itu ke tamu Kemabong yang diadakan setiap hari Sabtu.

Sementara itu seorang remaja Jovilin Jamin, 13, dari Kampung Tumantalik turut ditemukan di tamu di sini, menjual sayuran kampung yang dipetik dari kawasan hutan berhampiran rumahnya.

Anak kedua dari lima beradik itu berkata biasanya beliau akan berniaga ketika cuti sekolah sahaja, menjual sayur-sayuran yang dipetik bapanya, antaranya paku pakis, jantung pisang dan bungor, yang dijual pada harga RM2 seikat.

“Saya datang sini menjual sayur dari pukul 5 atau 6.30 pagi sehingga 12 tengah hari dan biasanya jualan semua ini akan habis," katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang peguam.

Mariana Kediding, 60, puladatang ke tamu itu semata-mata untuk mencari dan membeli sagu diperbuat daripada ubi kayu, yang merupakan kegemarannya.

"Kalau tidak biasa makan ini (sagu ubi kayu) memang cepat rasa lapar, tapi macam saya sudah biasa, rasa kenyang. Ini makanan orang tua-tua dulu yang hidup susah," katanya yang menetap di Kampung Melalap.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan