AM

PIMPINAN AKAR UMBI PERLU BANTU RAKYAT FAHAMI SETIAP INISIATIF KERAJAAN - MANIVANAN

22/05/2024 03:53 PM

SEREMBAN, 22 Mei (Bernama) -- Pimpinan akar umbi setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu menterjemahkan mesej disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat supaya mereka memahami rasional setiap inisiatif yang telah dan bakal dilaksanakan.

Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR Manivanan Gowin berkata pada masa sama, barisan kepimpinan dan jentera parti juga perlu terus menyantuni dan membantu mereka yang layak untuk mendapatkan bantuan disediakan kerajaan melalui pelbagai agensi terlibat.

“Pendekatan yang telah, sedang dan bakal diambil Kerajaan Perpaduan bukan bersifat populis kerana fokus utama adalah untuk memastikan ekonomi Malaysia bertambah baik manakala rakyat mampu hidup dalam keadaan selamat dan makmur.

“Berdasarkan maklum balas yang saya terima di peringkat akar umbi, mereka amat berharap supaya langkah drastik diambil akan membantu rakyat menghadapi bebanan akibat peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan sempena lawatan kerja tiga hari ke Negeri Sembilan.

Menurut Manivanan, beliau dan pemimpin masyarakat negeri ini semalam berpeluang mendengar Perutusan Negara yang disampaikan Perdana Menteri, ketika perjumpaan di sebuah hotel di sini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Susulan itu, Manivanan menyeru semua pihak memberikan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan memperkukuh ekonomi dan membantu rakyat melalui langkah berani seperti diumumkan Anwar.

“Ini termasuk menangani rasuah, mengatasi ketirisan dan memperkenalkan subsidi bersasar yang menunjukkan hasil memberangsangkan berdasarkan petunjuk ekonomi yang positif dan peningkatan bantuan untuk rakyat.

“Pada masa sama, agensi terbabit perlu meningkatkan keberkesanan penyampaian bantuan manakala agensi penguatkuasaan pula perlu meningkatkan pemantauan bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan atau mengganggu gugat keamanan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai juga perlu menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berwajib dan segera melaporkan sebarang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan penipuan yang boleh menyebabkan ketirisan dan kerugian kepada negara dan rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan