EKONOMI

POTENSI EKSPORT RM2.4 BILION DARI KAZAKHSTAN, UZBEKISTAN, PELUANG BESAR UNTUK SYARIKAT MALAYSIA - TENGKU ZAFRUL

22/05/2024 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Potensi eksport bernilai RM2.4 bilion daripada perniagaan di Kazakhstan dan Uzbekistan menandakan peluang besar yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat Malaysia di rantau Asia Tengah itu.

 Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata angka yang besar ini mencerminkan kepercayaan yang semakin meningkat dalam kalangan komuniti perniagaan mereka terhadap Malaysia sebagai rakan strategik dalam perdagangan dan pelaburan.

"MITI akan memastikan komitmen eksport itu direalisasikan secepat mungkin untuk menyokong pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

"Terdapat banyak peluang untuk syarikat Malaysia di sana,” katanya menerusi hantaran di laman X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) beliau hari ini. 

Tengku Zafrul berkata melalui kehadiran MATRADE di Almaty dan Tashkent, MITI akan mengembangkan peluang perniagaan untuk syarikat Malaysia dan memastikan ini diterjemahkan kepada peluang komersial kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pekerjaan untuk rakyat.

Beliau merupakan sebahagian daripada delegasi yang mengiringi lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan bermula 14-19 Mei. 

Menurutnya, Malaysia dan Uzbekistan juga bersetuju untuk mengaktifkan semula Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC).

 “JTC berfungsi sebagai platform untuk menangani isu berkepentingan; membincangkan bidang kerjasama sedia ada dan kemungkinan yang baharu; mengukuhkan kerjasama sektor swasta dan menggalakkan lagi perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan