DUNIA

Jualan Runcit Dalam Talian China Naik 11.5 Peratus Empat Bulan Pertama

22/05/2024 03:40 PM

BEIJING, 22 Mei (Bernama-CMG) -- Jualan runcit dalam talian di China bagi empat bulan pertama tahun ini naik 11.5 peratus tahun ke tahun, dengan mencatat RMB4.41 trilion (RM2.85 trilion), kata seorang pegawai Bahagian E-dagang Kementerian Perdagangan China pada Selasa.

Menurut beliau, jumlah jualan runcit dalam talian membabitkan produk fizikal naik 11.1 peratus tahun ke tahun dengan mencecah RMB3.74 trilion (RM2.42 trilion),  sekali gus menyumbang 23.9 peratus keseluruhan jualan runcit barang kepenggunaan.

Pada masa yang sama, nisbah eksport melalui e-dagang rentas sempadan dalam import-eksport perdagangan komoditi meningkat dengan stabil.

Pegawai itu berkata peningkatan pesat dapat disaksikan dalam jualan produk digital, hijau dan kesihatan melalui e-niaga pada empat bulan pertama tahun ini, antaranya, jualan dalam talian peralatan komunikasi, barangan elektronik untuk kegunaan isi rumah yang bersifat mesra alam dan produk sukan dan hiburan masing-masing meningkat sebanyak 20.2 peratus, 15.5 peratus dan 21.6 peratus tahun ke tahun.

Dalam tempoh yang sama, kepenggunaan perkhidmatan utama di bawah pemantauan Kementerian Perdagangan dalam talian naik sebanyak 25.1 peratus tahun ke tahun, antaranya pelancongan dalam talian meningkat sebanyak 77.6 peratus.

Selain itu, kemajuan baharu juga dapat disaksikan sektor e-dagang dalam bidang kerjasama antarabangsa.

Kementerian Perdagangan China dan Kementerian Perdagangan Dalam dan Luar Negeri Serbia telah menandatangani memorandum persefahaman tentang pembentukan mekanisme kerjasama e-dagang baru-baru ini.

Setakat ini, China telah membentuk mekanisme kerjasama e-dagang dua hala dengan 31 negara. Pelbagai projek rintis berjalan lancar di Zon Kerjasama "E-dagang Jalan Sutera" Shanghai,  sedangkan 36 daripada kesemua 38 projek pilot sudah dimulakan pelaksanaannya.

-- BERNAMA-CMG


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan