AM

NRES TEKAD KUKUH AGENDA PEMULIHARAAN BIODIVERSITI

22/05/2024 03:52 PM

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bertekad untuk mengukuhkan agenda pemuliharaan biodiversiti di negara ini, kata Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata sebagai satu daripada 17 negara yang paling kaya dengan biodiversiti, Malaysia telah pun mengambil langkah untuk mengintegrasikan Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KMGBF) di peringkat kebangsaan berdasarkan keadaan, keutamaan dan keupayaan negara.

KMGBF bertujuan menyeru semua pihak berkepentingan bertindak untuk menghentikan dan memulihkan kehilangan biodiversiti dengan menyokong pelaksanaan kerangka biodiversiti global itu.

"Dalam hubungan ini, Malaysia menjadi negara ASEAN pertama dan antara negara parti kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) yang terkehadapan dalam melaksanakan semakan semula terhadap dasar biodiversiti peringkat kebangsaan supaya selaras dengan keperluan semasa dan KMGBF.

"Biodiversiti merupakan khazanah negara yang sangat berharga dan memuliharanya adalah tanggungjawab kita bersama. Berbekalkan komitmen dan iltizam yang tinggi, saya yakin kita dapat menjalankan amanah bagi memulihara aset semula jadi kita demi kesejahteraan generasi masa kini dan masa depan," katanya dalam kenyataan hari ini bersempena dengan Hari Biodiversiti Antarabangsa (IDB).

Nik Nazmi berkata dalam usaha mengukuhkan agenda pemuliharaan biodiversiti di negara ini, pelbagai langkah progresif telah dilaksanakan melalui inisiatif nasional seperti insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan (EFT), Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) serta Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2000 telah mengisytiharkan secara rasmi 22 Mei sebagai IDB bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat dunia berkaitan isu-isu biodiversiti, dengan tema yang dipilih bagi tahun ini ialah 'Be part of the Plan' atau 'Jadilah Sebahagian Daripada Pelan'.

Nik Nazmi berkata bagi memeriahkan sambutan IDB, NRES telah merancang pelbagai aktiviti antaranya sesi dialog awam bagi menambahbaik pelaksanaan EFT, sesi dialog awam bagi penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia (MBC) dan Muzium Sejarah Alam Semula Jadi (NHM) Malaysia, sesi bual bicara dan demonstrasi serta kuiz biodiversiti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan