SUKAN

Liga Super: Kdn Fc Nekad Halang Serangan Terengganu Fc

22/05/2024 03:29 PM

KOTA BHARU, 22 Mei (Bernama) -- Pemain pertahanan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) Kim Lik Wan nekad menghalang serangan Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu Jumaat ini.

Lik Wan berkata dalam latihan, pasukannya memfokuskan terhadap serangan Terengganu kerana Terengganu FC mempunyai pemain berkualiti dan nama-nama besar.

“Saya harap rakan sepasukan dapat melaksanakan perancangan yang telah dibuat oleh jurulatih semasa sesi latihan bagi memastikan gol tidak mudah dibolosi lawan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selepas beraksi dalam dua perlawanan, KDN FC kini berada di kedudukan ke-11 daripada 13 pasukan bertanding pada musim ini selepas tewas dua kali kepada Sri Pahang FC dan Sabah FC.

Pemain kelahiran Korea Selatan itu berkata, aspek komunikasi daripada rakan sepasukan terutamanya di posisi pertahanan amat penting bagi mengawasi pergerakan pemain Terengganu FC.

"Saya fikir komunikasi adalah perkara yang paling penting.

“Semasa sesi latihan di padang, kami berkomunikasi dan bekerjasama.

“Jika komunikasi berjalan dengan baik, kami boleh lakukan pertahanan yang lebih berkesan.

"Selain itu, segala perancangan pasukan juga mesti dilaksanakan supaya kami mendapat keputusan positif di Terengganu," katanya.

Beliau berkata, dia sentiasa percaya rakan sepasukannya boleh melakukan yang terbaik bagi mencari kemenangan bagi setiap perlawanan dilalui.

"Walaupun secara peribadi saya kecewa dengan keputusan perlawanan sebelum ini, namun dari sudut positif, kami menjadi semakin baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan