AM

Hari Wesak Diraikan Penuh Harmoni, Tiada Isu Keselamatan

22/05/2024 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Wesak yang merupakan hari penting bagi masyarakat Buddha, diraikan penuh harmoni oleh penganut serta pengunjung dalam dan luar negara.

Beberapa insiden berkaitan keselamatan institusi negara tercetus baru-baru ini namun ia hanya kes terpencil dan tidak menggugat keharmonian agama serta kaum, seperti diakui pengunjung di Tokong Buddha Maha Vihara terletak di Brickfields, yang merupakan antara lokasi utama sambutan keagamaan di ibu negara.

Timbalan Presiden Tokong Buddha Maha Vihara, A Hemadasa berkata acara keagamaan yang dilaksanakan di tokong itu sejak 60 tahun lepas tidak pernah terganggu dengan insiden tidak diingini.

Perkara sama diakui pengunjung tempatan S.Sumathi, 46, yang berkata dia tidak pernah rasa bimbang tentang keselamatan dirinya di dalam negara malah yakin anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa cakna dan peka hal berlaku di sekeliling.

“Malaysia merupakan tempat paling selamat berbanding di negara-negara yang pernah saya lawati sebelum ini. Masyarakat dilindungi di sini walaupun kita berjalan bersendirian dan membawa beg tangan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Dua penganut Buddha dari Bangkok, Thailand, Hathai Kateratorn, 51 dan Sasima Srisuwan, 41 berkata kawalan keselamatan oleh pihak berkuasa di sini amat baik kerana sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan.

“Ini merupakan kali pertama bersembahyang di sini dan ia sama sekali berbeza dengan keadaan di tempat saya seperti susunan dan orang ramai. Secara keseluruhannya, ia agak bagus dan orang ramai di sini sangat baik. Polis sentiasa mengawal dan memantau di sini, jadi saya dan semua rasa selamat,” katanya.

Suasana harmoni juga dilaporkan pengunjung di Kuil Fo Guang Shan, Kelana Jaya, Selangor.

Leong Chuan Yin, 33 dan M Kuhendren, 60, berkata keselamatan ketika sambutan Hari Wesak tidak pernah menjadi isu kerana premis berkenaan sentiasa di bawah kawalan PDRM dan pasukan RELA.

“Ini adalah kejiranan yang agak selamat, lebih-lebih lagi di tempat menarik seperti kuil ini. Saya juga pernah melihat kereta peronda polis mengelilingi kawasan kejiranan secara kerap dari semasa ke semasa,” kata Kuhendren.

Semalam, Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Seri Azmi Abu Kasim berkata kawalan keselamatan terhadap bangunan kerajaan, kawasan tumpuan awam dan kemudahan penting diletakkan pada tahap tertinggi susulan beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini. 

Menurut beliau pihak polis memandang serius insiden baru-baru ini yang menimbulkan kegusaran masyarakat awam serta memberi jaminan keselamatan awam di negara ini berada pada tahap terbaik dan selamat.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan