AM

Sail Malaysia Bawa 35 Pelayar Antarabangsa Berlabuh Di Terengganu

22/05/2024 03:15 PM

KUALA TERENGGANU, 22 Mei (Bernama) -- Sebanyak 14 perahu layar membabitkan 35 pelayar dari pelbagai negara kini berlabuh di Terengganu sempena Program Sail Malaysia Passage To The East Yacht Rally 2024 (Sail Malaysia).

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata program selama 15 hari bermula Ahad lepas sehingga 2 Jun itu melibatkan pelbagai negara termasuk Australia, Amerika Syarikat, Hong Kong, Switzerland, New Zealand dan United Kingdom.

“Pelayar termuda yang menyertai program ini adalah Sawyer Anderson yang berusia tiga tahun dan manakala Larry Green, 83 tahun merupakan peserta yang paling berusia.

“Mereka memilih beberapa lokasi pelancongan tersohor di Terengganu antaranya Kuala Terengganu, Pulau Kapas, Pulau Redang dan Pulau Perhentian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kini para peserta berada di Kuala Terengganu selama lima hari bermula semalam dan mereka akan diperkenalkan dengan budaya dan adat tradisi negeri di samping diberi peluang merasai sendiri keenakan makanan tradisional yang disediakan JPNT.

Ahmad Ridzwan berkata para peserta akan dibawa ke lokasi terkemuka di Kuala Terengganu termasuk Kampung Budaya Terengganu, tempat pembuatan bot di Kampung Pulau Rusa, Noor Arfa Batik dan Pasar Payang.

“Program seupama ini pastinya bukan sahaja dapat memperkenalkan negeri ini sebagai destinasi pelayaran malah mampu mempamerkan keindahan pulau-pulau dan adat resam Terengganu kepada dunia luar. JPNT berharap dengan adanya program seperti ini, ia dapat mempromosikan Kuala Terengganu sebagai salah satu hab kapal layar.

“JPNT juga akan sentiasa memberikan kerjasama sewajarnya bagi program-program seperti ini sebagai usaha menarik kedatangan lebih ramai pelayar antarabangsa ke Terengganu selain meminta agar peserta program menyalurkan maklum balas pelayaran kepada JPNT,” katanya.

Untuk rekod Sail Malaysia yang menawarkan program komprehensif untuk mempromosikan pelancongan nautika dan boat dianjurkan oleh Persatuan Pelancongan Perkapalan dan Marin Malaysia serta diuruskan oleh SM Yachting Sdn Bhd.

Program ini telah mempromosikan pelancongan nautika di Malaysia sejak tahun 2005 manakala tahun terakhir berlabuh di Terengganu pada 2017.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan