SUKAN

SIVASANGARI CALON PEMAIN TERBAIK ANUGERAH PSA

22/05/2024 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Jaguh skuasy negara S Sivasangari merupakan antara lima pemain wanita terbaik dunia yang dicalonkan bagi merebut gelaran Pemain Terbaik Wanita Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

PSA dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan ini diberi berdasarkan pencapaian sepanjang musim 2023/2024 dalam beberapa kejohanan bertaraf platinum, emas, perak dan gangsa dengan antaranya Terbuka British, Terbuka Manchester dan QSF3 yang sedang berlangsung.

“Undian akan ditutup pada 27 Mei (Isnin) 11.59 malam. Pemenang akan diumumkan pada majlis makan malam Anugerah PSA diadakan di The Book Rotunda di Birmingham pada Sabtu, 8 Jun.

“Proses pengundian terbahagi kepada dua bahagian, menggabungkan undian oleh peminat skuasy di media sosial dan undian oleh Jawatankuasa Anugerah PSA - kumpulan terdiri daripada bekas pemanin berpengaruh, ahli media, penganjur kejohanan dan wakil Lembaga PSA,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sesawang PSA di www.psaworldtour.com.

Selain Sivansangari, empat lagi pemain wanita yang turut dicalonkan ialah pemain nombor satu dunia Nour El Sherbini, Nouran Gohar dan El Hammamy dari Mesir  selain pemain Amerika Syarikat, Olivia Weaver.

Pemain berusia 25 tahun itu melonjak ke ranking ke-10 dunia dalam senarai terkini dikeluarkan Jelajah PSA Wanita pada Isnin susulan pencapaiannya mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia Skuasy di Kaherah,  Mesir, serta kecemerlangan dalam kejohanan London Classic bulan lepas, sekali gus menjadi pemain wanita ketiga negara menembusi senarai 10 pemain terbaik selepas Datuk Nicol David dan Low Wee Wern.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan