AM

Sambutan Minggu Perpaduan Sasar Kehadiran 200,000 Pengunjung

22/05/2024 11:30 AM

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung selama empat hari bermula esok di Angsana Johor Bahru Mall, Johor menyasarkan kehadiran kira-kira 200,000 pengunjung.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sambutan berkenaan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 malam, Sabtu ini. 

Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang menerusi kenyataan itu berkata program berkenaan mampu menjadi wadah perpaduan dan tapak integrasi yang berlandaskan pendekatan terpilih serta berkesan sehingga ke peringkat akar umbi untuk memperkukuh sekali gus mengeratkan hubungan masyarakat dalam usaha memelihara ekosistem perpaduan.

Sambutan Minggu Perpaduan itu merupakan kali kedua diadakan selepas kali pertama di Kuching, Sarawak tahun lepas.

Pelbagai aktiviti diadakan bermula 10 pagi hingga 10 malam antaranya pameran rumah KAMI (22 rumah etnik); perkampungan Orang Asli suku kaum Seletar, Mahmeri dan Semai; perkampungan Rumah Panjang suku kaum Iban; pameran jabatan dan agensi kerajaan dan swasta serta jualan Rahmah.

Turut diadakan pameran dan jualan produk Kawasan Rukun Tetangga Progresif, Larian Uniti (Uniti Fun Run), foodunites dan foodtruck, permainan e-sports, pertukaran topi keledar Jabatan Pengangkutan Jalan, pengurangan kadar kompaun saman oleh Polis Diraja Malaysia dan persembahan artis terkenal menerusi Malam Irama Sama-Sama Kita.

"KPN ingin mengajak orang ramai khususnya rakyat di Johor Bahru dan kawasan sekitarnya untuk bersama-sama memeriahkan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan. 

"Sambutan ini adalah peluang yang sangat berharga untuk kita bersama-sama memperkasakan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat seterusnya mengukuhkan tapak integrasi nasional berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan