EKONOMI

Penyasaran Subsidi Diesel Perkukuh Fiskal Kerajaan, Tingkat Peruntukan Sumber - Ahli Ekonomi

22/05/2024 10:32 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang dijangka membawa penjimatan kira-kira RM4 bilion setahun kepada kerajaan akan dapat mengukuhkan lagi kedudukan fiskal negara dan meningkatkan peruntukan sumber selain mengurangkan penggunaan bahan api fosil serta jejak karbon.

Profesor ekonomi daripada Universiti Sunway Prof Yeah Kim Leng berkata rasionalisasi yang melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia itu dijangka memberi impak positif kepada ekonomi serta kerajaan dalam membantu usaha melaksanakan pembaharuan yang diperlukan bagi memastikan kemampanan fiskal dan meningkatkan kecekapan ekonomi.

“Langkah kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi bahan api bermula dengan diesel dilaksanakan secara berhati-hati dengan pelbagai kumpulan sasaran terlindung daripada kesan kenaikan harga menerusi bantuan kad pembayaran bahan api dan bayaran tunai.

“Penyasaran subsidi akan menyederhanakan kesan ke atas inflasi di samping membawa penjimatan yang besar kepada kerajaan terutamanya dalam bentuk ketirisan dan penyeludupan rentas sempadan,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Perutusan beliau semalam mengumumkan Kabinet bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia yang dianggarkan dapat membawa penjimatan sebanyak RM4 bilion setiap tahun kepada kerajaan.

Beliau berkata bagi membendung kenaikan drastik harga barangan dan perkhidmatan di Semenanjung, kerajaan akan menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel.

Subsidi itu melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menurut Anwar kerajaan juga bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.  

Yeah berpandangan bahawa kos pengangkutan tidak sepatutnya meningkat kerana kebanyakan pengendali diberikan subsidi diesel. 

“Begitu juga, inflasi pengguna akan terkesan secara langsung tetapi pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa yang berkaitan perlu dipertingkatkan bagi mengelak kenaikan harga yang tidak wajar oleh perniagaan terutamanya dalam sektor pengangkutan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penjimatan sebanyak RM4 bilion tersebut membolehkan kerajaan menyalurkannya kepada perkara yang akan meningkatkan produktiviti negara dalam jangka sederhana dan panjang.

“Penjimatan subsidi diesel akan disalurkan kepada program bayaran tunai serta meningkatkan daya saing sektor pendidikan, kesihatan dan infrastruktur yang akan meningkatkan daya saing negara,” katanya.

Di samping itu, Mohd Afzanizam berkata agensi penarafan kredit bakal menilai semula tinjauan penarafan yang sedia ada kepada tinjauan yang positif sekiranya hasil reformasi ekonomi ini mula membuahkan hasil.

“Sekiranya berlaku kenaikan penarafan kredit, ia akan dapat menarik perhatian pelabur asing terutamanya dalam pelaburan portfolio yang mana pegangan asing dalam instrumen pendapatan tetap seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) serta bon korporat bakal meningkat dan sekali gus berpotensi untuk menaikkan nilai ringgit,” katanya.

-- BERNAMA=


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan