AM

PENDEDAHAN AWAL LITERASI DIGITAL LAHIRKAN PENGGUNA MEDIA SOSIAL BERTANGGUNGJAWAB

22/05/2024 10:09 AM

Oleh Muhammad Faizal Nazmi Mohd Haran

KUALA TERENGGANU, 22 Mei (Bernama) -- Pendedahan awal mengenai literasi digital yang menekankan adab dan etika penggunaan media sosial wajar dilaksanakan bermula dari peringkat sekolah bagi melahirkan pengguna media sosial yang bertanggungjawab. 

Pensyarah kanan dalam bidang kewartawanan di Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Rani Ann Balaraman berkata ia penting disebabkan kemunculan media baharu termasuklah pelbagai platform media sosial hari ini bukan sahaja menarik golongan dewasa malahan juga kanak-kanak. 

“Ini (media sosial) adalah kehidupan kita sekarang, maka etika penggunaannya perlu diajar kepada anak-anak sebab dalam dunia sains dan teknologi ketika ini, banyak kanak-kanak sudah mula pegang (memiliki) telefon bimbit dan sedang ‘galak’ dalam media sosial," katanya kepada Bernama. 

Rani Ann yang terlibat dalam penghasilan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu dilancarkan Kementerian Komunikasi pada 20 Feb lepas juga mencadangkan kerajaan melaksanakan program pendidikan kepada pempengaruh aktif menjalankan tugas kewartawanan warga bagi memastikan kandungan dihasilkan beretika seterusnya membantu pengikut mereka menjadi pengguna media sosial bijak. 

Selain itu, Rani Ann berkata terma kewartawanan warga atau citizen journalist mungkin kedengaran asing bagi sesetengah pihak namun secara definisinya, ia adalah sesuatu yang biasa dan menggambarkan hampir kesemua individu menggunakan media sosial ketika ini. 

Beliau berkata terdapat dua jenis kewartawanan warga iaitu kewartawanan warga berinstitusi dan tidak berinstitusi.

Beliau berkata kewartawanan warga berinstitusi adalah mereka yang bernaung di bawah mana-mana syarikat dan bergerak secara bebas untuk menulis berita, tetapi terdapat editor akan melihat sesuatu penulisan sebelum disiarkan.

“Bahayanya sekarang adalah kewartawanan warga tidak berinstitusi iaitu mereka yang menyampaikan sesuatu perkara atau maklumat sekali sahaja, dan hilang selepas itu,” katanya. 

Rani Ann berkata wartawan warga adakalanya bertindak membuat pelaporan tanpa masuk akal misalnya sesuka hati  mengambil gambar mangsa kemalangan jalan raya dan memuat naik di media sosial tanpa memikirkan sensitiviti keluarga, berbeza dengan amalan wartawan profesional. 

Sehubungan itu, beliau memberikan contoh keputusan Mahkamah Sesyen Taiping, Perak yang mengenakan denda RM23,000 terhadap seorang lelaki kerana memuat naik komen jelik berhubung tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut yang mengorbankan 10 anggota bulan lepas sebagai mesej jelas mengenai keseriusan kerajaan mengekang tindakan tidak beretika di media sosial. 

“Tindakan pantas kerajaan ini beri mesej kepada rakyat supaya jangan buat hantaran atau buat kerja kewartawanan warga sesuka hati tanpa adanya pemikiran waras dan diharapkan selain isu 3R (agama, kaum dan raja) dan diharap  kerajaan turut beri perhatian terhadap isu-isu lain yang berlaku di media sosial terutamanya melibatkan privasi seseorang,” katanya. 

‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ diangkat sebagai tema Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang akan diadakan selama tiga hari bermula 25 Mei di Kuching, Sarawak dan kemuncak sambutan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei. 

Lebih 800 orang pengamal media termasuk dari negara jiran turut dijemput menghadiri HAWANA 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Sarawak manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku agensi pelaksana. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan