AM

Ahmad Zahid Ajak Rakyat Malaysia Beri Sokongan Kepada Pasukan Sepak Takraw Negara

22/05/2024 01:13 AM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan dan mendoakan kemenangan pasukan sepak takraw negara yang akan menentang Thailand pada perlawanan akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 esok.

Beliau berkata pasangan acara double Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin serta trio Farhan Adam, Mohammad Syahir Mohd Rosdi serta Mohamad Azlan Alias mempamerkan aksi sengit pada aksi separuh akhir malam ini.

Ahmad Zahid berkata beliau sempat meluangkan masa menonton dan memberikan sokongan kepada pasukan negara dalam acara yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini.

“Sengit dan penuh debaran! Tahniah Noraizat Nordin, Aidil Aiman dan seluruh pasukan Malaysia atas kemenangan yang amat berharga buat Malaysia. Pasukan regu negara juga layak ke final! Syabas Farhan, Syahir dan Azlan.

“Doa rakyat Malaysia mengiringi kejayaan pasukan sepak takraw negara. Mudah-mudahan juara, insya-Allah!” katanya di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid turut mengajak orang ramai hadir ke Stadium Titiwangsa bagi memberi sokongan kepada pasukan negara.

Terdahulu, Aidil Aiman dan Muhammad Noraizat mara ke final selepas menundukkan Myanmar 2-0 dalam aksi separuh akhir acara double manakala pada aksi separuh akhir regu, trio negara juga mengatasi Myanmar 2-0.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan