DUNIA

Aot Diarah Bantu Penumpang, Kru Penerbangan Sq321 Sia

21/05/2024 10:41 PM

BANGKOK, 21 Mei (Bernama) -- Airports of Thailand (AOT) telah diarahkan untuk memberikan bantuan dan memudah cara penumpang serta kru pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321, yang melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi (BKK) di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit berkata beliau telah mengarahkan AOT untuk memberikan bantuan dan memudah cara penumpang serta kru pesawat SIA itu. 

"Saya dimaklumkan oleh AOT bahawa pada pukul 3.35 petang hari ini, Pusat Keselamatan Lapangan Terbang Suvarnabhumi telah diberitahu oleh kawalan trafik udara mengenai penerbangan SQ321 dari Heathrow ke Changi, Singapura, yang membawa 211 penumpang dan 18 kru, telah meminta melakukan pendaratan kecemasan di BKK akibat kecederaan dan kematian penumpang dalam  pesawat.

"Punca pendaratan kecemasan adalah disebabkan oleh cuaca buruk dan gelora udara semasa pesawat itu terbang di ruang udara Thailand," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata seorang penumpang asing dilaporkan meninggal dunia dan jumlah yang cedera sedang disahkan.

Suriya berkata mangsa yang meninggal dunia dan penumpang yang cedera telah dibawa ke Hospital Samitivej Srinakarin untuk tindakan selanjutnya.

"Adalah dijangka bahawa penerbangan dari Changi akan tiba di Thailand kira-kira pada pukul 9.45 malam dan pegawai BKK akan memudahkan penumpang untuk meneruskan perjalanan mereka ke Singapura," katanya.

Beliau juga menggesa semua agensi dan syarikat penerbangan untuk menekankan standard keselamatan tertinggi disebabkan oleh keadaan cuaca semasa dan hujan lebat di beberapa kawasan.

Sementara itu, dalam respons segera, BKK berkata ia telah menghantar pasukan perubatan ke lokasi untuk menilai kecederaan dan memberikan bantuan kepada penumpang yang cedera selepas penerbangan itu mendarat  pukul 3.51 petang.

Ia berkata lapangan terbang itu juga telah mengaktifkan pelan kecemasan untuk kecemasan dalam penerbangan dan sedang dalam proses membawa penumpang yang cedera ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Bagi penumpang dengan kecederaan ringan atau tiada kecederaan, Lapangan Terbang Suvarnabhumi telah menyediakan kawasan menunggu untuk penumpang di dalam bangunan terminal. Petugas Lapangan Terbang Suvarnabhumi sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menjaga dan memudahkan penumpang sementara mereka menunggu untuk meneruskan penerbangan ke Singapura," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan