EKONOMI

PENCAPAIAN EKONOMI NEGARA BAGI SUKU PERTAMA 2024 AMAT MEMBERANGSANGKAN - PM ANWAR

21/05/2024 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Malaysia mencatatkan pencapaian ekonomi yang amat  memberangsangkan bagi suku pertama 2024 pada kadar 4.2 peratus mengatasi anggaran kebanyakan pihak yang mengunjurkan pada 3.9 peratus, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata prestasi itu direkodkan dalam suasana ekonomi global yang terus tidak menentu.

“Dalam suasana ekonomi dunia yang terus dalam ketidaktentuan, hampir kesemua sektor telah melonjak dan memangkinkan pertumbuhan buat suku pertama tahun 2024.

“Pencapaian makroekonomi ini harus kita raikan bersama,” kata beliau ketika menyampaikan Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan malam ini.

Anwar yang memetik prestasi ekonomi negara berkata pasaran buruh berkembang 2.1 peratus menjadikan jumlah tenaga kerja meningkat kepada 16.4 juta.

“Kadar inflasi kekal rendah pada 1.7 peratus berbanding 1.6 peratus pada suku keempat 2023 dan bagi empat bulan pertama 2024, jumlah dagangan Malaysia berkembang 8.3 peratus kepada RM912.27 bilion,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pada masa sama kerajaan tidak menafikan bebanan sara hidup yang dihadapi rakyat dan perkara itu menjadi tumpuan utama Kerajaan MADANI.

Antara strategi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI adalah perencanaan baharu melibatkan pelbagai sektor dan aspek ekonomi.

“Antaranya pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 selain ikhtiar Belanjawan MADANI,” kata beliau.

Mengenai usaha meningkatkan gaji rakyat, Anwar berkata pelan induk perindustrian menyasarkan pendapatan bulanan pekerja industri pembuatan meningkat kepada minimum RM4,500 menjelang 2030.

Beliau berkata Khazanah Nasional Bhd juga telah menggerakkan usaha melahirkan usahawan baharu sektor berpertumbuhan tinggi dengan dana RM1 bilion.

“Semua dasar ini bermatlamat menggapai cita-cita Ekonomi MADANI iaitu menaikkan lantai dan siling atau mengangkat darjat hidup rakyat dan menstrukturkan semula ekonomi bagi melonjakkan Malaysia sebagai jaguh di rantau Asia,” kata Anwar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan