AM

Musa Hitam Lancar Buku "seteru Politik" Tengku Razaleigh

21/05/2024 05:16 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Terkenal sebagai seteru politik semasa zaman kemuncak kerjaya pada awal 80-an, bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam hari ini mencipta kenangan tersendiri apabila hadir merasmikan buku Tengku Razaleigh Hamzah bertajuk Ku Li: Memoir 205.

Kemuncak "pertempuran" dua figura itu ketika bersaing merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 1981 nyata hanya tinggal dalam lipatan sejarah apabila Musa dan Tengku Razaleigh hari ini mesra berkongsi pentas dalam acara pelancaran buku hasil tulisan Zinitulniza Abdul Kadir itu.

Tengku Razaleigh dalam ucapan aluannya berkata beliau amat terharu dan berbangga dengan kesudian Musa untuk hadir bersama isterinya Toh Puan Zulaikha Sheardin. 

Beliau berkata pelancaran buku pada hari ini bertujuan dijadikan rujukan oleh generasi masa kini mengenai sejarah awal Malaysia terutamanya berkaitan hubungan diplomatik dengan negara China dan pemilikan minyak.

“Generasi masa kini akan tahu bagaimana jalinan diplomatik dengan China supaya dapat dihentikan keganasan yang dilakukan PKM (Parti Komunis Malaya) supaya negara kembali selamat dan aman, sekali gus membenarkan rakyat yang merdeka membangunkannya.

“Satu lagi, bagaimana kita mendapatkan semula minyak yang (sebelum itu) diberikan kepada syarikat asing oleh pemerintah British? Hal ini penting dalam mengukuhkan ekonomi negara kita pada masa itu,” katanya.

Sementara itu, Musa mengakui Tengku Razaleigh atau mesra disapa sebagai Ku Li yang juga bekas Ahli Parlimen Gua Musang ialah sahabat sewaktu awal penglibatannya dalam politik dan kerajaan, namun bertukar menjadi "lawan" dalam pertarungan mendapatkan jawatan semasa pemilihan UMNO ketika itu.

“Bertahun-tahun renggang, namun itu sejarah dan saya hormati Ku Li dan akan ingat beliau dahulu sebagai seorang anak muda yang terkenal dalam politik dan memberi potensi terbaik kepada kerajaan ketika itu.

“Beliau (pada masa itu) anak muda yang bertanggungjawab, saya ingat pada dua perkara utama iaitu sewaktu kerajaan menubuhkan Bank Bumiputera selain ada peranan mentadbir Petronas (Petroliam Nasional Berhad) ketika awal kerajaan menubuhkannya dahulu,” katanya dalam ucapan sebelum melancarkan buku Ku Li: Memoir 205.

Mengandungi 15 bab, buku Ku Li: Memoir 205 setebal 339 muka surat berkongsi pelbagai kisah di sebalik tabir sejarah perkhidmatan Tengku Razaleigh terutama dalam membantu kepimpinan tertinggi negara membina Malaysia sejak 1962.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan