AM

Mcmc, Mida Bakal Tandatangan Moa Bantu PMks Terima Guna Rangkaian 5g - Fahmi

21/05/2024 05:18 PM

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menandatangani satu perjanjian persefahaman (MoA) untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana menerima guna dan melaksanakan penggunan rangkaian 5G bagi perniagaan mereka, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

MoA berkenaan akan dimeterai tidak lama lagi dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

“Ia dalam proses. Memandangkan kita telah mencapai lebih daripada 80 peratus liputan kawasan penduduk (COPA) dan penerimagunaan pada waktu ini adalah memuaskan...bagaimanapun ia masih boleh dirancakkan lagi.

“Maka langkah seterusnya adalah untuk syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) ataupun mobile network operators melengkapkan proses perjanjian langganan saham (SSA), pegangan ekuiti mereka di dalam syarikat Digital Nasional Bhd (DNB),” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Fahmi juga berkata Jemaah Menteri hari ini telah dimaklumkan bahawa mesyuarat pertama lembaga pengarah bagi DNB telah diadakan semalam dan wakil daripada syarikat telco, setiap daripada lima syarikat telco diwakili oleh seorang Ahli Lembaga Pengarah diberikan masa 20 hari untuk membuat sebarang keputusan.

“Maka kita jangka selepas tempoh itu, kita harap akan dilengkapkan dan dimuktamadkan pegangan ekuiti oleh syarikat-syarikat telekomunikasi dan salah satu syarat yang dikenakan kepada syarikat telco yang mahu terlibat dalam rangkaian kedua ialah mereka wajib melengkapkan SSA ini iaitu pegangan ekuiti dalam DNB.

“Dalam tempoh masa...tidak terlalu lama dari sekarang, MCMC akan mengumumkan proses tender, membolehkan syarikat-syarikat yang berminat dalam bidaan dalam rangkaian kedua, menghantar bidaan masing-masing tetapi prasyaratnya adalah hanya syarikat yang sudah melengkapkan SSA, boleh menyertau tender,” katanya.

Fahmi berkata keputusan hala tuju bagi rangkaian 5G yang dibuat hari ini (semasa mesyuarat Jemaah Menteri) adalah susulan kepada keputusan dibuat pada 3 Mei tahun lepas dan juga keputusan yang dicapai pada 23 Ogos tahun lalu apabila Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa pelaksanaan rangkaian 5G akan mula beralih dari satu rangkaian kepada dwi rangkaian.

Setakat 30 April 2024, capaian rangkaian 5G bagi kawasan berpenduduk telah mencecah 81.5 peratus manakala dari segi penerimagunaan ataupun ‘adoption rate’ untuk rangkaian 5G telah mencapai 39.2 peratus.

“Ini menyaksikan peningkatan 3.8 peratus berbanding hujung bulan Mac tahun ini, bermaksud secara keseluruhan setakat hujung April terdapat 13.2 juta akaun 5G dalam negara kita .

“Ini adalah pencapaian yang baik dan cukup positif. Sudah pasti ia menunjukkan dari segi dasar pihak kerajaan dan juga pengawal selia iaitu MCMC, semuanya berjalan dengan lancar dan rakyat menerimanya dengan baik,” katanya.

Setakat hujung bulan April, penerimagunaan 5G bagi kategori individu telah mencecah 12.78 juta pengguna manakala bagi syarikat (enterprise) pula adalah 422,609 akaun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan