AM

TEMPOH PENGUATKUASAAN GARIS PANDUAN PEMUTIHAN SEKOLAH AGAMA PERSENDIRIAN, TAHFIZ DILANJUT - AMIRUDIN

21/05/2024 04:10 PM

SHAH ALAM, 21 Mei (Bernama) -- Tempoh penguatkuasaan garis panduan pemutihan sekolah agama persendirian dan tahfiz di Selangor dilanjutkan bagi membolehkan institusi terbabit memenuhi beberapa syarat kelulusan terutamanya berkaitan keselamatan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata aspek keselamatan bangunan yang melibatkan bidang kuasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merupakan antara syarat kelulusan yang agak mencabar dan sukar dipenuhi oleh pengendali tahfiz atau sekolah agama persendirian.

Beliau berkata berbanding keselamatan, aspek atau syarat kelulusan lain seperti perkara melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kesihatan telah selesai diberi penilaian dan kelulusan oleh pihak berkuasa berkaitan.

"Kita bagi penangguhan untuk mereka penuhi beberapa perkara dan ketika ini kekangan besar adalah kelulusan pada bomba kerana dari aspek keperluan PBT dan kesihatan semua sudah selesai.

"Keperluan bomba ini agak penting sebab kosnya boleh dikatakan besar kerana nak dapat sijil perakuan bomba, saya difahamkan bangunan-bangunan berkenaan memerlukan konsultan, pelan bangunan dan beberapa keperluan lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini hari ini.

-Media sebelum ini melaporkan tempoh pemutihan sekolah agama persendirian di Selangor yang sepatutnya berakhir hujung tahun lepas dilanjutkan hingga Disember ini susulan garis panduan pemutihan baharu sedang dikemas kini.

Hal ini selepas kerajaan negeri dilaporkan akan melonggarkan syarat kelulusan pemutihan institusi tersebut melibatkan pengecualian syarat-syarat tertentu yang ditentukan oleh sebuah jawatankuasa khas yang akan mendefinisikan sama ada ia dikecualikan atau perlu melalui proses-proses yang diringankan.

Amirudin berkata pihaknya bersedia menjadi perantara dengan jabatan bomba bagi memastikan semua institusi terbabit dapat memenuhi syarat ditetapkan sekali gus membolehkan garis panduan pemutihan dapat dikuatkuasakan sepenuhnya selepas ini.

"Aspek keselamatan itu amat penting tetapi bagi sesetengah pusat tahfiz ia agak mencabar untuk memenuhi setiap keperluan ditetapkan dan dalam hal ini, kita cuba jadi perantara bantu sekolah tahfiz penuhi syarat ditetapkan," katanya.

Pada Mac lepas, Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) Muhd Hafiz Haneefa dilaporkan berkata sebanyak 100 daripada 500 pusat tahfiz telah selesai melalui proses pemutihan manakala selebihnya sudah berdaftar dan sedang melihat pengecualian dari segi caj pemajuan dan juga premium tanah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan