AM

LEBIH 700,000 PELAJAR DIBERI VAKSIN HPV SEBELUM TAMAT SESI PERSEKOLAHAN 2024

21/05/2024 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberikan suntikan vaksin papilomavirus manusia (HPV) kepada 719,236 pelajar perempuan terdiri daripada kohort 2021 hingga tahun ini yang masih belum menerima vaksin berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata kohort berkenaan terjejas ekoran pandemik COVID-19 yang menyebabkan berlaku gangguan bekalan vaksin HPV di peringkat global.

“Sehubungan dengan itu, KKM telah mempergiat aktiviti pelaksanaan pemberian imunisasi HPV catch-up kepada murid yang belum menerima sebarang imunisasi HPV sebelum mereka meninggalkan alam persekolahan.

“Bekalan vaksin yang kita ada ialah 802,000 dos bermakna kita mempunyai dos yang mencukupi kepada baki pelajar yang tersenarai dalam data simpanan kita dan kesemua baki itu akan diberikan suntikan sebelum tamat sesi persekolahan 2024 pada Februari 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Pra-Pelancaran Pemberian Imunisasi HPV Catch-Up kepada murid perempuan tingkatan satu hingga empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1 di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli.

Beliau berkata pecahan baki yang belum menerima vaksin terbabit adalah sebanyak 54,224 pelajar tingkatan empat untuk kohort 2021; 220,158 bagi pelajar tingkatan tiga (2022); 219,815 pelajar tingkatan dua (2023) dan 225,039 pelajar tingkatan satu pada tahun ini. 

Lukanisman berkata sejak program ini diperkenalkan pada 2010, sejumlah 2,561,062 pelajar perempuan telah menerima vaksin HPV.

Sementara itu, beliau berkata KKM akan melakukan pemantauan secara berterusan susulan kejadian gelombang terbaharu di Singapura iaitu peningkatan dua kali ganda kes COVID-19 pada minggu bertarikh 5 hingga 11 Mei 2024 berbanding minggu sebelumnya.

“Kita akan sentiasa bersiap sedia dengan peningkatan dan mengambil pandangan pakar selain mempunyai tahap kesiapsiagaan setiap masa berdasarkan pengalaman lepas,” katanya.

Semalam, KKM memaklumkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 20/2024 (12 hingga 18 Mei 2024), sebanyak 1,230 kes COVID-19 dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 14.8 peratus berbanding ME 19/2024. 

“Tiada kes kematian COVID-19 dilaporkan sejak 25 April 2024 sehingga kini. Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan pada ME 20/2024 berbanding ME 19/2024 iaitu pengisian katil bukan kritikal sedikit meningkat tetapi tidak membebankan kapasiti hospital,” menurut KKM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan