EKONOMI

Penstrukturan Semula Kepentingan Dalam Mahb Redakan Tekanan Ke Atas Kewangan Kerajaan

21/05/2024 04:01 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mengurangkan tekanan terhadap kewangan kerajaan secara ketara, apabila pengendali lapangan terbang itu tidak akan bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk membiayai aktiviti operasi dan perbelanjaan modalnya.

Pakar ekonomi dalam bidang penerbangan dan aeroangkasa di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Madya Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) ialah pembiaya kewangan terkemuka yang telah banyak melabur dalam projek di seluruh dunia.

“Jika MAHB menggerakkan atau melaksanakan projek tujuan khas, sumber utama dana akan diperoleh daripada ADIA.

“Ini merupakan langkah strategik apabila kepentingan kawalan berada dalam prerogatif kerajaan dan pada masa sama mengurangkan sumbangan pembayar cukai (untuk membiayai operasi MAHB),” katanya.

Pada 15 Mei, Gateway Development Alliance dan pemegang sahamnya (konsortium) mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk memperoleh semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh konsortium itu pada harga tawaran RM11.00 sesaham.

Konsortium itu diketuai oleh dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan Malaysia -- Khazanah Nasional Bhd (melalui anak syarikat milik penuhnya UEM Group Bhd) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Apabila tawaran itu selesai sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB kepada 40 peratus daripada 33.2 peratus manakala KWSP kepada 30 peratus daripada 7.9 peratus.

Secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70 peratus kepentingan dalam MAHB, manakala ADIA dan Global Infrastructure Partners (GIP), antara pelabur infrastruktur utama dunia serta pemilik dan pengurus lapangan terbang yang berpengalaman, akan memegang baki sebanyak 30 peratus.

Kerajaan Malaysia akan mengekalkan hak saham khas dalam MAHB manakala jawatan pengerusi serta ketua pegawai eksekutif akan kekal dipegang daripada kalangan warganegara Malaysia.

Mohd Harridon menegaskan perhatian serius oleh ADIA terhadap aspek butiran menambahkan lagi peringkat pertimbangan, kerana organisasi itu menetapkan pencapaian dan petunjuk prestasi utama dengan teliti sebagai panduan bagi pelaksanaan projek.

“Ini memastikan mana-mana projek yang dijalankan MAHB akan diteliti dari segi kecekapan dan keberkesanannya selain kemajuan projek diperkemas.

“Di samping itu, menjadi satu norma untuk pelabur MAHB mendapatkan justifikasi pengendali lapangan terbang itu mengenai perbelanjaan operasi untuk mengurangkan pembaziran dan secara munasabah mencari metodologi optimum bagi mengendalikan organisasi itu,” katanya.

Beliau berkata aspek tersebut perlu dlihat secara positif memandangkan perkara itu menandakan usaha proaktif untuk mengoptimumkan rangka kerja operasi MAHB, sekali gus meningkatkan pulangan daripada pelaburan.

Walau bagaimanapun, beliau turut menekankan kepentingan untuk menentukan sama ada penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB itu benar-benar boleh dilaksanakan untuk kerajaan.

“Oleh itu, kerajaan mesti melibatkan dan menggunakan model matematik untuk menilai secara holistik proses penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB itu,” kata Mohd Harridon.

Sehingga kini, MAHB menguruskan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia, termasuk lima lapangan terbang antarabangsa, 17 lapangan terbang domestik dan 17 STOLports (lapangan terbang pelepasan dan pendaratan singkat) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen Istanbul di Turkiye.

Pada 3.30 petang harga saham MAHB susut dua sen kepada RM10.08 dengan 5.31 juta saham bertukar tangan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan