AM

KERAJAAN TERUS PERKASA PMKS, JADIKAN MALAYSIA NEGARA KEUSAHAWANAN

21/05/2024 01:35 PM

SIBU, 21 Mei (Bernama) -- Kerajaan menerusi Belanjawan MADANI 2024 akan menumpukan pada usaha memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi mencapai Dasar Keusahawanan Nasional 2030 ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan.

Menyedari cabaran yang dihadapi PMKS dalam bentuk keadaan ekonomi yang sentiasa berubah serta perniagaan yang terdedah dan dipengaruhi pelbagai faktor luaran, kerajaan menawarkan pelbagai program pembiayaan untuk memudahkan urusan dan menambah baik persekitaran perniagaan.

“Program pembiayaan perniagaan ini dilaksanakan menerusi institusi kewangan pembangunan atau institusi kewangan lain milik kerajaan bagi memenuhi keperluan atau permintaan pelanggan PMKS yang berbeza dan ia terbuka kepada semua PMKS yang layak di seluruh negara,” kata Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Mohd Saiful Sungkih.

Berucap pada Program Jerayawara Inisiatif PMKS Negeri Sarawak di sini hari ini, beliau berkata kerajaan melaksanakan program pembiayaan bersubsidi bagi sektor tumpuan yang dikenal pasti dengan memberi subsidi kadar keuntungan atau kadar faedah sebanyak 1.5 peratus setahun.

Ini menurut beliau dapat membantu mengurangkan kos pinjaman usahawan bagi pinjaman yang diberikan oleh institusi kewangan.

Mohd Saiful berkata selain program pembiayaan bersubsidi, kerajaan juga melaksanakan program pembiayaan dengan jaminan kerajaan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Menerusi program itu kerajaan menjadi penjamin ke atas pinjaman yang diberikan oleh institusi kewangan kepada usahawan.

Program jaminan itu menurut beliau, bertujuan menangani masalah atau kekangan dihadapi oleh syarikat-syarikat PMKS yang tidak mempunyai atau kekurangan cagaran untuk mendapatkan kemudahan kredit.

Sementara itu, beliau berkata menerusi program jerayawara tersebut, agensi pelaksana inisiatif pembiayaan memberikan taklimat mengenai jenis produk pembiayaan yang ditawarkan, selain konsultasi kepada usahawan berhubung kaedah mendapatkan pembiayaan perniagaan yang disediakan dan platform rangkaian antara PMKS.

Program yang telah diadakan di Kuching pada 11 Mei lepas, akan berlangsung Bintulu Khamis ini dan terakhir di Miri pada Isnin depan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan