AM

Bekas Wartawan Penyiaran Sarawak Meninggal Dunia

21/05/2024 12:28 PM

KUCHING, 21 Mei (Bernama) -- Bekas wartawan penyiaran dari Sarawak, Datuk Affandi Tahir meninggal dunia di kediamannya di sini malam tadi.

Menurut laporan TV Sarawak (TVS) hari ini, berita pemergiannya disahkan anaknya, Faisal Affandi yang menyatakan bapanya berusia 83 tahun telah menghembuskan nafas terakhir pada 10.53 malam.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) (UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkesempatan menziarahi setelah menerima perkhabaran tentang Allahyarham sedang uzur di rumahnya, beberapa jam sebelum pemergiannya.

Affandi merupakan bekas wartawan penyiaran radio di Radio Televisyen Malaysia (RTM), dan beliau memulakan karier sebagai pembantu penyiaran di Radio Sarawak pada April 1961.

Antara jawatan terakhir beliau ialah sebagai Pengarah RTM Johor (1992-1996) dan kemudiannya Ketua Pegawai Eksekutif Cats FM.

Allahyarham juga telah menghasilkan sebuah buku tentang kisah hidupnya berjudul “From Belacan to FM”.

Dalam pada itu, Abdullah yang dihubungi berkata peranan Allahyarham sebagai wartawan veteran Sarawak akan dihargai dan dikenang oleh rakan-rakan sezaman beliau. 

“Walaupun telah lama bersara, naluri Allahyarham sebagai bekas wartawan yang sentiasa ingin tahu tidak pernah luntur kerana beliau sering menghubungi saya bertanya tentang perkembangan semasa, tentang pelbagai perkara yang berkaitan dengan isu politik dan masyarakat.

“Cabaran yang dilalui wartawan zaman dahulu sebelum teknologi digital diperkenalkan untuk menyampaikan berita dan peristiwa buat tatapan masyarakat haruslah dihargai dan dikenang. Kegigihan dan kesungguhan warga wartawan veteran ini juga perlu diteladani wartawan zaman sekarang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan