AM

Unit Fisioterapi Sertai Ziarah Rahmah Santuni Jemaah

21/05/2024 10:32 AM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 21 Mei (Bernama) -- Dalam usaha berterusan memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada jemaah haji, Program Ziarah Rahmah pada tahun ini turut disertai pakar fisioterapi yang berkongsi panduan dan nasihat tentang cara senaman boleh dilakukan untuk kekal cergas. 

Penyelarasan Operasi (Unit Kesihatan Awam) Lembaga Tabung Haji (TH) Dr Asraf Ahmad Qamruddin berkata senaman ringkas perlu dilakukan setiap hari oleh setiap jemaah untuk mengelakkan jemaah daripada mengalami masalah seperti sakit otot dan sendi. 

"Selalunya jemaah haji di Tanah Suci, mereka perlu melakukan perjalanan lebih jauh daripada kebiasaan di Malaysia. Untuk itu, pegawai fisioterapi memberikan sedikit nasihat mengenai senaman ringkas yang boleh dilakukan kepada jemaah haji. 

"Kita akan tunjukkan contoh senaman tersebut khususnya untuk jemaah yang mengalami masalah sendi dan otot. Unit fisioterapi ini kebiasaannya akan menyertai Ziarah Rahmah ini jika  berkelapangan kerana mereka juga mempunyai klinik sendiri di sini," katanya kepada pengamal media selepas melakukan Ziarah Rahmah di Hotel Abraj Al Janadriyah Makkah, semalam. 

Program Ziarah Rahmah yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lepas merupakan lawatan dari bilik ke bilik untuk memeriksa keadaan kesihatan jemaah haji bagi membantu mengesan lebih awal masalah kesihatan dihadapi jemaah haji sekali gus mengelakkan daripada bertambah serius dan Malaysia merupakan satu-satunya negara berbuat demikian.

Dr Asraf berkata dalam lawatan terhadap 500 bilik melibatkan 800 jemaah haji setakat ini, pihaknya juga mengambil peluang menyampaikan pendidikan kesihatan untuk memastikan jemaah haji sihat semasa berwukuf di Arafah nanti, iaitu merupakan kemuncak kepada ibadah haji.

"Kami akan memberikan nasihat ringkas kepada jemaah termasuk tentang keadaan cuaca, bagaimana hendak mengambil air dan macam mana nak elak daripada kelesuan haba serta cara hendak mengelak daripada terkena jangkitan saluran pernafasan. 

"Selalunya masalah utama dihadapi jemaah adalah soal mengambil air. Walaupun sudah diingatkan, masih ada jemaah yang masih kurang jelas berapa jumlah air perlu diambil dan ada jemaah takut minum banyak air kerana perlu kerap ke tandas, " katanya. 

Selain itu, katanya terdapat juga masalah seperti sendi dan otot apabila berjalan ke masjid, kulit kaki mengelupas dan masalah pengambilan ubat dari tanah air juga sering diutarakan oleh jemaah. 

Beliau berkata untuk  jemaah haji mempunyai gejala atau masalah kesihatan, petugas kesihatan yang menyertai Program Ziarah Rahmah itu akan menasihati mereka untuk segera ke klinik maktab bagi mendapatkan rawatan segera. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan