AM

Menteri, Pemimpin Politik Zahir Takziah Kepada Seluruh Rakyat Iran

20/05/2024 07:57 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Menteri dan pemimpin politik hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Republik Islam Iran, atas kehilangan Presiden Iran Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Iran Dr Hossein Amirabdollahian, serta anak kapal yang terlibat dalam nahas helikopter di barat laut Iran, pada Ahad.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi hantarannya di laman X berkata pemergian Raisi, pastinya amat dirasai khususnya dalam menonjolkan semangat kepimpinan bagi menggesa pemimpin negara-negara Islam, untuk mencapai keputusan tegas berhubung isu Palestin.

“Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Takziah diucapkan kepada seluruh rakyat Republik Islam Iran atas pemergian Presiden Ebrahim Raisi,” katanya sambil menitipkan sekeping gambar ketika perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Raisi, semasa menghadiri mesyuarat luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada November 2023.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, turut berdukacita dengan perkhabaran Allahyarham Raisi bersama Hossein dan penumpang lain dalam nahas terbabit, hari ini.

“Kali terakhir bertemu rakan sejawat Dr Hossein Amirabdollahian, Menteri Luar Negeri Republik Islam Iran semasa United Nations Security Council (UNSC) Ministerial-Level Open Debate di New York Januari lalu dan perbualan telefon bersama beliau pada hujung bulan April yang lalu.

“Allahyarham (Hossein) begitu bervisi dalam usaha pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Iran di dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama. Sesungguhnya ini merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat Republik Islam Iran,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu turut berharap agar kesemua roh mangsa nahas berkenaan dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. 

“Saya mewakili seluruh warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, mendoakan semoga seluruh ahli keluarga mangsa dan rakyat Republik Islam Iran dapat bersabar dengan ujian yang dihadapi ini. Salam takziah kepada semua,” katanya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut merakamkan ucapan takziah dan menitipkan doa, serta ingatan tulus ikhlas daripada rakyat Malaysia sentiasa bersama-sama rakyat Republik Islam Iran dalam menempuh tempoh yang sukar ini.

Selain itu, Presiden Parti Islam Se-Malaysia Tan Sri Abdul Hadi Awang juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Raisi dan Hossein. 

“Semoga Al-Marhum Ebrahim Raisi dan Hossein Amirabdollahian ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan hamba-Nya yang soleh,” katanya.

Helikopter yang membawa Raisi terhempas pada petang Ahad di kawasan Varzaqan, ketika beliau dalam penerbangan pulang bersama Hossein dan beberapa individu lain, selepas perasmian empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan