AM

KOMPLEKS DEWAN BEDAH PUSAT JANTUNG HSIS DIBAIK PULIH MENJELANG BULAN DEPAN

20/05/2024 04:42 PM

LANGKAWI, 20 Mei (Bernama) -- Kerosakan atau kecacatan pada Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung, Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, Selangor yang dilaporkan sebelum ini akan dibaik pulih menjelang bulan depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihak kontraktor projek tersebut telah memberi jaminan akan melakukan kerja-kerja baik pulih itu selepas mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor dan Jabatan Kerja Raya (JKR), baru-baru ini.

“Kami mahu pastikan mereka memenuhi tarikh yang ditetapkan. Bangunan baharu empat bilik bedah yang tidak berfungsi sangat menjejaskan penyampaian dan juga perkhidmatan Pusat Jantung di Serdang ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Dzulkefly bersama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengiringi Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff yang berkenan melawat ke tapak projek pembinaan bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha di sini.

Sebelum ini JKN Selangor dilaporkan mengesahkan Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung HSIS berhadapan isu teknikal termasuk masalah bekalan elektrik. 

Bagaimanapun Dzulkefly berkata keadaan tersebut tidak mengganggu kes kecemasan kerana penyusunan akan dibuat dengan merujuk pesakit ke fasiliti lain seperti Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam pada itu beliau berkata projek pembinaan bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha yang bermula pada 20 Jan 2022 telah mendahului jadual sebanyak 15 hari iaitu mencapai 22.5 peratus kemajuan.

Menurutnya projek yang dijadual siap pada 26 Dis tahun depan membabitkan kos kontrak RM425 juta bagi meningkatkan bilangan perkhidmatan kepakaran serta mengurangkan kebergantungan dan rujukan pesakit ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan hospital lain.

“Bangunan tambahan ini turut meningkatkan bilangan katil tambahan sebanyak dua kali ganda iaitu daripada 110 kepada 330 katil bagi menampung populasi penduduk Pulau Langkawi yang berkembang serta kehadiran pelancong yang semakin meningkat,” katanya.

Dzulkefly berkata kementerian akan memastikan fasiliti yang serba lengkap itu turut disokong dengan sumber manusia mencukupi dan teknologi pendigitalan terkini bagi memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia dapat diberikan di hospital tersebut.

“KKM akan terus meningkatkan imej fasiliti dan perkhidmatan hospital ini seterusnya mengambil peluang kehadiran pelancong yang tinggi di Pulau Langkawi bagi mempromosikan pelancongan kesihatan yang berpotensi tinggi untuk ditawarkan di Hospital Sultanah Maliha,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan