EKONOMI

Yayasan Peneraju Mahu Lahir Lebih Ramai Pencipta Nilai Bumiputera

20/05/2024 04:06 PM

Oleh Rosemarie Khoo

PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) -- Yayasan Peneraju (YP) berhasrat untuk melahirkan lebih ramai pencipta nilai bumiputera dalam kalangan penerima program bantuan kewangan dan biasiswanya, kata ketua pegawai eksekutifnya Ibrahim Sani.

Yayasan Peneraju merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi yang dimandatkan untuk berfungsi sebagai Pusat Bakat (tenaga kerja) dan berperanan sebagai hub strategik untuk pembangunan dan pengurusan bakat bagi memacu daya saing tenaga kerja bumiputera di peringkat global.

"Kita mahu mencipta kejayaan, kejayaan untuk menjadikan seseorang itu daripada penambah nilai kepada pencipta nilai, menggandakan ekonomi, dan ini bermula dengan tenaga kerja. 

"Kita (Yayasan Peneraju) berhasrat untuk melahirkan tenaga kerja yang lebih ke arah melahirkan pemimpin...pemimpin perniagaan...pemimpin profesional dan pemimpin masyarakat. 

“Dan ketiga-tiga pemimpin ini akan mempunyai indeks komposit sendiri untuk menjadi pencipta nilai," katanya kepada Bernama di luar Majlis Menskalakan Penciptaan Nilai Bumiputera di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Ekonomi Rafizi Ramli. 

Ibrahim berkata dengan penciptaan indeks komposit pencipta nilai, ia akan memilih tenaga kerjanya sendiri untuk menyertai programnya melalui proses dalaman. 

Menurutnya, ini harus dilakukan kerana ia perlu bertanggungjawab terhadap tenaga kerjanya dari peringkat permulaan untuk membuat keputusan dan menilai sama ada tenaga kerja itu akan menjadi pemimpin perniagaan, pemimpin profesional atau pemimpin masyarakat.

Sementara itu, katanya, program YP juga akan menumpu melahirkan pemimpin berkemahiran tinggi-pertumbuhan-tinggi (HGHV) dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Ini akan berdasarkan kepada industri peralihan tenaga, industri teknologi dan digital, industri elektrik dan elektronik (E&E) bernilai tinggi, pertanian masa depan serta industri nadir bumi.

"Kami sangat bersasar dan khusus dalam hal ini. Kami juga menyasarkan untuk mewujudkan kelas pelabur bumiputera.

"Kami akan mewujudkan program dipercepatkan untuk bumiputera berbakat bagi menjadi rakan kongsi umum dan memulakan syarikat mereka sendiri untuk menubuhkan firma modal teroka mereka sendiri. Mereka bukan pekerja modal teroka, mereka adalah pemilik modal teroka.

"Pada masa ini kami menyasar untuk mempunyai 14 pemodal teroka bumiputera yang berbeza dengan dana kecil yang sedia digunakan untuk membantu usahawan bumiputera, dan kami berharap lebih ramai (pemodal teroka milik bumiputera) untuk tampil kehadapan," kata Ibrahim.

Menurutnya, YP akan menyediakan program bimbingan dan tunjuk ajar dan melantik pelbagai pemimpin (ketika ini berada dalam bidang perniagaan dan profesional mereka) untuk menjadi mentor dan jurulatih secara berterusan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan