AM

Bomba Hantar Pasukan Hazmat Ke China, Belajar Tentang Hidrogen

20/05/2024 06:32 PM

KUCHING,  20 Mei (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) akan menghantar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) ke China untuk mendalami ilmu baharu tentang hidrogen.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, bomba perlu mendahului teknologi supaya kompetensi dan kemahiran selari dengan kemajuan industri semasa.

"Perancangan kita tahun ini adalah menghantar tiga pasukan ke China untuk melihat bagaimana keadaan industri di sana dan mengadakan kolaborasi.

"Kita  akan bawa kemahiran dan kompetensi tersebut ke Malaysia untuk kita buat peraturan dan cara mengawal selia," katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 JPBM di sini, hari ini

Nor Hisham berkata, bomba perlu sentiasa bersedia, melengkapkan anggota-anggotanya dengan kepakaran dan keperluan mengikut lokasi, dalam konteks hidrogen ini, merujuk kepada keperluan di Sarawak. 

"Pasukan Hazmat perlu mengenal pasti  Prosedur Operasi Standard dalam menangani sebarang bencana akibat daripada letupan bahan kimia. 

"Contohnya hidrogen, memang hidrogen itu sendiri adalah gas natural, namun apabila konsentrasinya berada pada tahap yang tinggi apakah yang akan terjadi?," katanya.

Ketika berucap pada majlis itu, Nor Hisham berkata Sarawak merupakan antara negeri yang pesat membangun dan dijangka akan beralih menjadi negeri berekonomi besar. 

Justeru, katanya, pembangunan prasarana secara besar-besaran dijangka akan berlaku dalam pelbagai sektor dan  akan menjadi cabaran kepada bomba dalam penguatkuasaan keselamatan kebakaran serta operasi kebombaan dan penyelamatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan