AM

Pembinaan Wise Dijangka Bermula Bulan Depan - Mb Perak

19/05/2024 03:13 PM

IPOH, 19 Mei (Bernama) -- Pembinaan lebuh raya West Ipoh Span Expressway (WISE) melibatkan laluan jajaran antara Gopeng dan Kuala Kangsar dijangka bermula awal bulan depan, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata proses perbincangan pelaksanaan projek itu kini di peringkat akhir dan tertumpu kepada semakan draf perjanjian antara syarikat konsesi dengan Kerajaan Persekutuan sebelum ia ditandatangani kedua-dua pihak.

 Katanya beliau difahamkan draf perjanjian konsesi (CA) itu ketika ini berada pada Pejabat Peguam Negara. 

“Apabila ia dipersetujui, maka CA akan ditandatangani sebelum syarikat konsesi dapat menjalankan kerja-kerja pembinaan lebuh raya berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-27 Koperasi Masjid Perak Berhad (KOMAS) di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Kerajaan Persekutuan dalam usaha mempercepatkan pembinaan WISE sebagai langkah mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) khususnya melibatkan laluan di Terowong Menora.

Lebuh raya sepanjang 60 kilometer (km) itu bakal dilengkapi tiga lorong dua hala dengan laluannya bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar dan seterusnya Kuala Kangsar.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata wakil syarikat terkemuka Korea Selatan Star Group Industries (SGI) telah mengadakan kunjungan ke beberapa kawasan di Perak baru-baru ini untuk membuka kilang penghasilan magnet.

Beliau berkata antara kawasan yang dilawati termasuk Kamunting di Taiping, Bandariang di Gerik serta Silver Valley Technology Park (SVTP).

“Kita maklumkan kepada mereka bahawa Perak ini mempunyai mineral termasuk unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE). Kita berjaya meyakinkan mereka, mereka datang ke Perak dan mereka sahkan ia benar,” katanya.

Terdahulu Saarani dan delegasi kerajaan negeri telah mengadakan lawatan kerja selama lapan hari ke Korea Selatan pada April lepas, bertujuan menarik pelaburan ke Perak khususnya dalam industri mineral.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan