AM

MELAKA ANGKAT SUARA GOLONGAN MUDA, BENTUK AHLI DEWAN UNDANGAN BELIA

18/05/2024 10:15 PM

JASIN, 18 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri sedang membentuk Ahli Dewan Undangan Belia bermula Jun ini, bagi mengangkat suara belia dan terlibat sama dalam memberi pandangan terhadap isu-isu yang dibincangkan di peringkat kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata perkara itu antara usaha bagi menyokong pembangunan belia Melaka, dengan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian serius oleh pihak terlibat agar aspek kepentingan belia terus dijaga.

Kewujudan peringkat Parlimen Belia Malaysia ini akan diterjemahkan kepada Ahli Dewan Undangan Belia negeri dan kita sedang membuat cadangan, bagi memastikan perkara berkenaan dapat direalisasikan.

“Selain itu ia juga boleh menjadi platform menjana pemimpin masa depan, platform orang muda menyuarakan aspirasi mereka terhadap kepimpinan, di samping melahirkan apa juga cita rasa orang muda untuk dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan negeri Melaka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat negeri di Stadium Mini Jasin dan turut di hadiri Exco Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri V P Shanmugam dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Melaka Khairul Adri Rosli.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga, akan terus menyokong usaha pembangunan belia di negeri itu, seperti inisiatif melantik wakil belia sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) Melaka sebagai Ahli Majlis Turut Hadir, yang dicalonkan oleh pihak komuniti dan pelbagai usaha lain.

Beliau berkata Melaka juga telah bersiap sedia menjadi tuan rumah sambutan HBN 2024 peringkat kebangsaan minggu hadapan, yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan, Banda Hilir dengan memberikan kemudahan dan infrastruktur terbaik, selain menyifatkan penganjuran itu satu pengiktirafan besar kepada kerajaan negeri.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan anugerah kepada pemenang Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2024, iaitu johan kategori individu lelaki dimenangi Mohd Firdaus Baharuddin, kategori individu wanita diraih G Durgashini, manakala kategori pertubuhan belia menjadi milik Junior Chamber International Malacca City Entrepreneur (JCI MCE).

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan