AM

AIR MATA BAPA GUGUR SELEPAS AHMAD AZZA FAHMI HILANG DARI PANDANGAN SELAMA-LAMANYA

18/05/2024 11:40 PM

TAPAH, 18 Mei (Bernama) -- Meskipun cuba menahan kesedihan, Azhar Khaiden tidak lagi mampu membendung air mata selepas jenazah anaknya Konstabel Ahmad Azza Fahmi yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor semalam, dikebumikan petang tadi.

Azhar, 54, berkata jika semalam dia masih boleh tersenyum ketika ditemui petugas media, hari ini dia mengakui berada di dalam van jenazah bersama jasad anaknya amat menguji ketabahan diri sebagai seorang bapa.

"Kira-kira tujuh jam bersama arwah dalam perjalanan dari Johor...ketika jenazah diturunkan di dalam liang lahad, maka hilang dia dari pandangan saya, air mata saya gugur juga," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor di sini.

Jenazah Ahmad Azza Fahmi selamat dikebumikan dengan upacara Pengkebumian Keperwiraan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 6.43 petang disertai lebih 1,000 orang termasuk saudara mara, anggota PDRM dan penduduk kampung.

Azhar turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada PDRM dan semua pihak yang terlibat dalam pengurusan jenazah anak ketiganya itu.

Dalam pada itu Azhar memaklumkan isterinya Norhaliza Awaluddin, 49, masih bersedih sejak mengetahui kejadian yang menimpa anak mereka. 

Justeru Azhar merayu pertimbangan PDRM supaya seorang lagi anak lelakinya Lans Koperal Ahmad Azza Fitri, 24, yang kini bertugas di Balai Polis Pulau Gaya, Kota Kinabalu dipertimbangkan untuk dipindahkan ke Perak bagi membantu memulihkan semangat ibunya.

"Saya juga memohon agar anak perempuan saya Nur Azza Assyaadah, 19, yang akan mengikuti temu duga polis di PGA Ulu Kinta Selasa ini dipertimbangkan sebagai galang ganti arwah," katanya.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi semalam, Ahmad Azza Fahmi dan rakan setugas Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak.

Suspek lelaki berusia 21 tahun ditembak mati dalam kejadian tersebut.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan