Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Bukan sekali, tetapi sudah banyak kali didengar kes mereka yang menjadi mangsa atau terperdaya dengan jenayah penipuan asmara (love scam) menerusi aplikasi mencari jodoh yang membabitkan kerugian bukan seringgit dua, tetapi boleh mencecah jutaan ringgit.
Namun begitu, portal cari jodoh dalam talian, sama ada berbayar ataupun percuma, masih terus menjadi pilihan kebanyakan mereka daripada pelbagai peringkat umur di negara ini dan juga global, untuk “memasarkan” diri atau membantu mereka yang “berat” dalam soal jodoh, mencari pasangan hidup.
Berdasarkan penyelidikan bertajuk Match to Marriage membabitkan orang Islam yang dilakukan oleh agensi kreatif TBWA Asia menerusi unitnya di Malaysia, Halal Wave, didapati 77.8 peratus mereka yang belum berkahwin cenderung menggunakan kuasa teknologi itu bagi mencari pasangan cinta.
Dapatan ini berdasarkan data daripada 158,586 perbualan media sosial dan 16 temu bual yang dijalankan oleh Halal Wave dari 2021 hingga 2023 merentasi lima negara, iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Jerman dan United Kingdom.
Mengakui perkara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Baituljannah Dr Wan Hasifi Amin Wan Zaidon berkata lebih 1.10 juta pengguna dari Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam telah berdaftar dengan aplikasi Baituljannah di sebalik uar-uar pelbagai isu penipuan berkaitan portal cari jodoh.
“Daripada jumlah yang berdaftar itu, lebih kurang 30,000 pasangan atau 2.5 peratus telah berkahwin sejak aplikasi cari jodoh Baituljannah dilancarkan pada Mei 2017 hingga kini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata platform itu lebih selamat digunakan kerana setiap perbualan pengguna dalam aplikasi tersebut akan dipantau oleh pihak pentadbir aplikasi yang bertindak sebagai peneman atau chaperone, bagi mengelakkan berlakunya sebarang gangguan moral ataupun seksual.
“Kami mempunyai sistem yang tidak membenarkan pengguna bertukar nombor telefon dan akaun media sosial. Dalam ruang chat, terdapat meter yang dipanggil ‘Meter Keserasian’, iaitu sekiranya meter tersebut mencecah 100 peratus, akan dipaparkan satu borang yang dipanggil borang Taaruf Luar (berjumpa bersemuka).
“Melalui borang ini, pengguna boleh saling bertukar nombor telefon dengan syarat mereka mestilah mengesahkan akaun terlebih dahulu melalui swafoto dengan kad pengenalan. Hal ini penting bagi memastikan keaslian identiti yang diberikan selain dapat mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini apabila mereka berjumpa secara bersemuka,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga sentiasa menggalakkan pasangan yang telah mengisi borang Taaruf Luar agar tidak berjumpa secara berdua-duaan, sebaliknya membawa teman atau penjaga bersama-sama.
Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Khadijah Alavi berkata penggunaan portal cari jodoh secara terkawal boleh membantu golongan muda memperluas hubungan sosial, terutamanya bagi mereka yang memasang niat untuk kekalkan hubungan ke jenjang pelamin.
Beliau berkata kemudahan yang ditawarkan melalui platform itu membolehkan pengguna, terutamanya golongan muda, menyaring pasangan berdasarkan kriteria yang diinginkan menerusi interaksi secara maya sebelum beralih ke fasa lebih serius.
“Aplikasi cari jodoh ini sekali gus dapat mengurangkan populasi warganegara yang belum berkahwin atau terlajak bujang, disebabkan oleh kerjaya dan pendidikan yang membatasi mereka daripada meneruskan niat untuk berkahwin,” katanya.
Khadijah bagaimanapun berkata potensi pasangan berkahwin yang curang juga sangat tinggi sekiranya platform itu disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Berkongsi pengalaman, Athirah Rahmad, 33, mengaku kerap diganggu oleh lelaki berstatus suami orang dalam aplikasi cari jodoh yang disertai sebelum bertemu suaminya yang turut dikenali menerusi aplikasi sama.
“Ramai lelaki yang sudah berkahwin saya jumpa dan ada yang cuba berkenalan dengan saya. Alasan mereka sebab bosan dan nak release stress, tetapi saya akan terus block (sekat) sebab tidak mahu perkara tidak diingini berlaku,” kata pekerja swasta itu kepada Bernama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial