EKONOMI

EKONOMI MALAYSIA BERADA DI LANDASAN UNTUK BERKEMBANG 4.0 HINGGA 5.0 PERATUS TAHUN INI - BNM

17/05/2024 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) kekal mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini berlandaskan pertumbuhan suku pertama 2024 yang memberangsangkan pada 4.2 peratus.

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata unjuran itu berasaskan limpahan lebih besar daripada kitaran teknologi yang meningkat, ketibaan pelancong dan pelaksanaan pantas projek pelaburan baharu dan sedia ada.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan itu mungkin menghadapi risiko negatif iaitu permintaan luar yang lebih lemah daripada jangkaan, peningkatan konflik geopolitik dan penurunan ketara pengeluaran komoditi, katanya pada sidang media mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2024 di sini, pada Jumaat.

“Sementara itu, kadar pertukaran efektif nominal (NEER), yang mengukur prestasi ringgit berbanding mata wang negara rakan dagang utama, meningkat sebanyak 2.5 peratus,” katanya.

Beliau berkata berbanding dolar AS (USD), ringgit menambah nilai sebanyak 1.6 peratus bagi tempoh daripada 26 Feb hingga 15 Mei, 2024, manakala berbanding mata wang serantau, ringgit menunjukkan prestasi yang agak baik.

Abdul Rasheed berkata tekanan ke atas mata wang tempatan telah berkurangan sejak bank pusat itu melaksanakan usaha terselaras dengan syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, syarikat dan pelabur untuk menggalakkan mereka menghantar pulang pendapatan asing sejak akhir Februari, dan usaha itu telah memberi hasil yang positif.

Ketika ditanya mengenai kesan kemungkinan rasionalisasi subsidi ke atas diesel dan RON95, gabenor berkata bagi jangka masa pendek, langkah itu mungkin memberikan sedikit kesan dari segi penggunaan dan pelaburan namun boleh diimbangi menerusi pemindahan tunai atau pemindahan pendapatan daripada kerajaan (untuk golongan yang memerlukan).

“Bagi impak jangka masa panjang, langkah itu boleh memberi kesan positif kepada negara dari segi kedudukan fiskal,” katanya.

Beliau berkata rasionalisasi subsidi bahan api bukan sahaja mempengaruhi perbelanjaan isi rumah malah juga mendorong syarikat untuk melabur dalam pengeluaran cekap tenaga dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Berdasarkan persekitaran semasa dari segi pertumbuhan, kita mencatatkan angka pertumbuhan yang baik dan aliran inflasi sederhana.

“Ini menyediakan tetingkap peluang yang baik untuk kita melaksanakan rasionalisasi dan pembaharuan subsidi,” katanya.

Abdul Rasheed berkata walau bagaimanapun, perkara penting itu sewajarnya diumumkan kerajaan dan perlu meliputi bukan sahaja mengenai mekanisme malah juga dari segi kewangan dan senarionya.

“Lebih penting ialah cara memastikan pemindahan pendapatan yang adil dan saksama kepada segmen modal masyarakat,” katanya.

Mengenai pelarasan gaji penjawat awam pada Disember ini, beliau berkata berdasarkan pengalaman, pelarasan itu dijangka tidak memberi kesan besar kepada kadar inflasi.

Beliau berkata kesan pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baru diperkenalkan juga akan menjadi minimum terhadap kadar inflasi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan