FOKUS BERNAMA

CABARAN MEDIA BAHARU TUNTUT KEMAHIRAN LITERASI DIGITAL

17/05/2024 09:10 AM
Daripada Erda Khursyiah Basir

Kemahiran memahami, menganalisis dan seterusnya membuat penilaian terhadap sesuatu kandungan menjadi antara komponen penting literasi media pada era digital hari ini.

Aspek itu penting susulan kehadiran media baharu yang dilihat bebas menyebar luas sebarang kandungan lantaran tiada pengampang maklumat sebagaimana media konvensional.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad, dalam senario maklumat tanpa sempadan hari ini, sesiapa sahaja boleh menghasilkan bahan “berita”  yang kemudian disebarkan secara meluas tanpa kawalan.

“Keadaan ini menimbulkan isu kesahihan serta kewibawaan sesuatu berita di media baharu. Justeru, masyarakat perlu mempunyai kemahiran untuk menilai sesuatu maklumat atau berita bagi memastikan kebolehpercayaan kandungan itu.

“Media baharu bukan sahaja berfungsi sebagai perantara untuk menyalurkan maklumat, namun lebih daripada itu institusi berkenaan kini menjadi antara komoditi penting dalam pelbagai sektor.

“Literasi media menumpukan pada keupayaan pengguna menganalisis media secara kritikal, penggunaan secara beretika dan kemahiran menghasilkan kandungan. Berdasarkan situasi semasa, literasi media juga boleh diungkapkan sebagai literasi digital dengan mengambil kira ekosistem media baharu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

 

80 PERATUS RAKYAT AKTIF MEDIA SOSIAL

Mengulas lanjut, Mohd Khairie berkata konsep literasi media secara ilmiahnya mula diagendakan sekitar 1960-an, dan pada ketika itu, penggunaan media massa dikaitkan dengan keperluan sosial dan psikologi masyarakat, di samping sebagai alat penting dalam proses membangunkan negara.

“Apabila dunia beralih ke era teknologi komunikasi dan maklumat, maka bermulalah agenda literasi media dalam perspektif yang baharu. Umumnya, literasi media dalam kalangan masyarakat di Malaysia sudah ada namun perlu dipertingkatkan seiring kecanggihan teknologi komunikasi dan maklumat.

“Merujuk laporan DataReportal di laman web https://datareportal.com/reports/digital-2024-malaysia, terdapat seramai 33.59 juta pengguna Internet di Malaysia pada awal 2024, dengan kadar penembusan Internet mencapai 97.4 peratus.

“Menurut laporan itu juga, sebanyak 28.68 juta rakyat atau 83.1 peratus populasi negara ini adalah pengguna aktif media sosial pada Januari 2024,” katanya.

pic-2

Turut dinyatakan dalam laporan itu ialah Analisis Kepios - sebuah laman web yang memberi pencerahan tentang perkara sebenar yang dilakukan oleh masyarakat semasa dalam talian - menunjukkan pengguna Internet di Malaysia meningkat sebanyak 357,000  (peningkatan 1.1 peratus) antara Januari 2023 dan Januari 2024.

Beliau berkata berdasarkan data berkenaan, dapat ditakrifkan wujud kemahiran penggunaan media namun isu seterusnya yang dibangkitkan ialah kemahiran dari segi menganalisis, menilai dan menggunakan media baharu secara beretika.

“Sebagai contoh, media tempatan melaporkan sebanyak 36,030 kes jenayah dalam talian yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM1.6 bilion berlaku pada 2023, manakala bagi isu berkaitan pelanggaran etika, sebanyak 104 kes disiasat bagi tempoh sembilan bulan pertama 2023, melibatkan isu agama, institusi raja dan kaum.

“Masalah seperti inilah yang menuntut  tahap literasi media yang baik dalam kalangan masyarakat agar dapat dibendung perkara lebih buruk yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam negara,” katanya.

 

TAPISAN KENDIRI, MYCHECK MALAYSIA

Mohd Khairie yang berpendapat literasi media sukar dicapai secara kolektif sekiranya individu gagal menguasai kemahiran memahami, menganalisis dan menilai kandungan media baharu dengan baik, turut berkata set kemahiran itu juga perlu diiringi amalan tapisan kendiri pengguna.     

pic-3

Tegas beliau, setiap warga siber khususnya, perlu mempunyai sikap untuk tidak berkongsi berita dan maklumat yang tidak sahih, di samping sentiasa berwaspada bagi mewujudkan persekitaran media baharu yang lebih sihat dan harmoni.

“Usaha meningkatkan kesedaran literasi media memang banyak dilaksanakan oleh kerajaan dan pelbagai pihak terlibat. Namun, pada masa sama, masyarakat perlu dididik untuk menerima guna pelbagai inisiatif yang ada dalam ekosistem kesejahteraan digital.

“Hari ini terdapat pelbagai perisian, pelantar web dan aplikasi yang berupaya menguji kandungan media baharu, dan masyarakat boleh dididik untuk memanfaatkan semua kemudahan itu.

“Antaranya, pelantar MyCheck Malaysia yang boleh membantu masyarakat menyemak kesahihan sesebuah berita dan maklumat. Perisian ‘Verify’ dan ‘Content Credentials’ pula boleh digunakan untuk menilai sama ada AI (kecerdasan buatan sebagai unsur manipulasi) telah digunakan dalam penghasilan satu-satu kandungan digital.

Tegas beliau, perkara asas bagi menerapkan literasi media dalam kalangan masyarakat perlu dilakukan secara sistematik menerusi kerangka sistem pendidikan sedia ada dan harus dilaksanakan seawal pendidikan prasekolah.

“Antara lain ialah menubuhkan Majlis Literasi Media Negara. Majlis ini perlu diwakili oleh pelbagai organisasi masyarakat, agensi awam dan korporat.

“Majlis ini akan berfungsi menasihat dan merangka tindakan dari segi dasar, perundangan dan program bagi menyediakan persekitaran kondusif demi kesejahteraan hidup di era digital,” katanya, menambah antara negara yang melaksanakan inisiatif itu ialah Singapura.

 

KELEMAHAN INDIVIDU JADI PUNCA

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata kebergantungan masyarakat pada maklumat di media baharu, khususnya platform media sosial, yang kian meningkat berbanding media arus perdana turut menyumbang kepada cabaran literasi media.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu menggunakan aplikasi media sosial dengan lebih berhemah dan beretika kerana tahap literasi media yang rendah menyebabkan penyebaran berita palsu dan tidak sahih berleluasa di platform berkenaan.

 “Kebergantungan yang tinggi pada media sosial telah membawa kepada peningkatan isu seperti penyebaran maklumat palsu dan kandungan tidak bermoral. Terdapat kajian yang mendapati kelemahan individu dalam literasi media baharu menyebabkan banyak isu kontroversi tersebar termasuk melibatkan geopolitik dan hubungan antara negara. 

“Kelemahan dalam aspek pemantauan dan kawalan kandungan media baharu memburukkan lagi keadaan, termasuk penyebaran kandungan bersifat toksik dan peningkatan kes penyalahgunaan yang boleh memberi impak negatif kepada masyarakat dan negara jika tidak dikawal dengan sekatan undang-undang dan akta tertentu,” katanya. 

pic-4

Tidak menolak perkembangan teknologi yang pantas menyukarkan sebahagian masyarakat, terutama golongan berusia dan kurang berpendidikan untuk bergerak seiring dengan perubahan itu, beliau berkata keadaan tersebut mengakibatkan ada yang ketinggalan dan gagal memahami cara penggunaan sebenar platform media baharu.

“Kekangan lain ialah kepelbagaian platform media baharu itu sendiri yang memerlukan kemahiran dan pendekatan berbeza untuk menilai kesahihan maklumat, kerana setiap platform mempunyai ciri dan cabaran tersendiri.

“Sikap dan kurangnya pengetahuan individu, terutama pempengaruh media sosial, dalam aspek literasi media turut menyumbang kepada lambakan isu kontroversi di media sosial, sekali gus memberi kesan kepada masyarakat. Malah ada yang sampai ke tahap mempengaruhi kehidupan mereka apabila terlalu obses dengan personaliti kegemaran,” katanya. 

 

FAHAMI MANFAAT DAN RISIKO AI, CHATGPT

Siraj, pada masa sama, berkata literasi media memerlukan pendekatan holistik melibatkan pendidikan, kesedaran awam melalui kempen tertentu, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama pelbagai pihak bagi menangani cabaran kepelbagaian platform media baharu pada masa kini.

Menasihatkan masyarakat agar berwaspada akan ancaman siber, beliau berkata perkembangan teknologi berisiko untuk disalah guna bagi tujuan penyebaran  maklumat palsu dan penipuan, termasuk aktiviti jenayah dalam talian.

“Maklumat palsu mudah tersebar secara meluas sekiranya penggunaan teknologi seperti ChatGPT atau algoritma yang dibentuk oleh AI ini tidak dikawal. 

“Antara kebimbangan yang wujud ialah penggunaan ChatGPT secara berlebihan boleh menyebabkan kebergantungan yang keterlaluan sehingga mengancam daya pemikiran kritis. Ini boleh memberi kesan negatif terhadap literasi media kerana pengguna mungkin menerima ‘bulat-bulat’ output ChatGPT tanpa menilai kesahihannya,” kata beliau.

Menurut Siraj, walaupun tidak dinyatakan secara khusus dalam kajian ilmiah, perkembangan AI seperti ChatGPT yang mampu menjana kandungan realistik, berpotensi membuka ruang untuk ancaman siber seperti penipuan identiti, pencurian data dan pelanggaran privasi, jika tidak dikawal sebaiknya.

Beliau turut memberikan contoh terkini isu berkaitan AI yang dikongsikan oleh laman web Science Daily https://www.sciencedaily.com/releases/2024/05/240510111440.htm#google_vignette, dengan tajuk “AI Systems Are Already Skilled At Deceiving And Manipulating Humans” yang bertarikh 10 Mei, 2024. 

Antara yang dibangkitkan dalam artikel itu ialah penyelidik menerangkan risiko penipuan oleh sistem AI dan menyeru kerajaan membangunkan peraturan yang kukuh untuk menangani isu berkenaan secepat mungkin.

“ChatGPT yang dilatih dengan sejumlah besar data daripada pelbagai sumber juga mungkin menyukarkan pengguna untuk menilai kesahihan maklumat yang dijana kerana sumbernya tidak jelas.

“Justeru, walaupun ChatGPT mempunyai banyak potensi aplikasi yang bermanfaat, perkembangannya perlu dikawal dan diawasi dengan teliti bagi mengelakkan penyalahgunaan serta menangani cabaran literasi media dan ancaman siber yang mungkin berlaku,” katanya.

Bagi menangani isu ini, beliau menyarankan agar kerajaan dan pihak berkenaan menyediakan peruntukan kewangan dan sumber mencukupi bagi menjalankan program pendidikan dan kempen literasi media.

Selain itu, katanya, kerajaan juga harus memperkenalkan dasar dan perundangan baharu yang lebih komprehensif berkaitan literasi media dan keselamatan siber, selain memperhebat penguatkuasaan undang-undang sedia ada bagi membendung penyalahgunaan media baharu, khususnya untuk tujuan jenayah siber. 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan