AM

Trafik Penumpang Apac Kembali Memulih Sepanjang 12 Bulan Lepas - Mastercard 

17/05/2024 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Trafik penumpang di Asia Pasifik (APAC) kembali memulih, terutamanya untuk perjalanan intra-serantau yang lebih dekat sepanjang 12 bulan lalu yang berakhir Mac 2024, menurut Institut Ekonomi Mastercard (MEI).

Ketua Ahli Ekonomi Asia Pasifik Mastercard David Mann berkata Jepun muncul sebagai destinasi paling popular di seluruh dunia, meningkat 0.9 peratus apabila ia mengalu-alukan ketibaan 3.08 juta pelawat dari luar negara pada Mac 2024.

“Dalam kalangan 10 teratas, terdapat empat lagi pasaran di rantau ini yang menunjukkan prestasi sangat baik, termasuk Malaysia, Australia, Korea Selatan dan Indonesia,” katanya dalam taklimat media secara maya MEI mengenai Pemulihan Perjalanan di Asia Tenggara - Trend Perjalanan APAC 2024.

Beliau menjangkakan pelancong dari Singapura akan mengunjungi Bangkok, Kuala Lumpur dan Perth pada musim panas ini dari Jun hingga Ogos 2024.

Beliau berkata pertumbuhan yang meningkat dijangka pada 2024, disokong oleh pengecualian visa di APAC serta peningkatan dalam kapasiti penerbangan antarabangsa, yang memanfaatkan destinasi seperti Singapura, Malaysia dan Thailand.

Dari segi bilangan hari yang dihabiskan di sesebuah negara, beliau berkata pelancong ke Malaysia dahulunya menginap dalam purata 5.6 hari tetapi kini ia telah meningkat kepada 6.4 hari.

Penginapan yang lebih lama secara amnya diterjemahkan kepada lebih banyak perbelanjaan bagi setiap perjalanan yang juga memberi manfaat kepada ekonomi tempatan, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan