EKONOMI

Panduit Dari As Bina Kilang Baharu Di Johor Bahru

15/05/2024 09:34 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Peneraju global dan pengeluar penyelesaian infrastruktur elektrik dan rangkaian termaju, Panduit telah membuka kemudahan pembuatan tercanggihnya di Johor Bahru. 

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kehadiran Panduit bukan sahaja akan meningkatkan kumpulan bakat berteknologi tinggi di Malaysia tetapi juga memberikan kelebihan yang menarik dalam pasaran antarabangsa. 

“Ia akan membantu perusahaan kecil dan sederhana dalam mengguna pakai teknologi pembuatan termaju, menyumbang kepada pembangunan ekosistem industri plastik selain mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan serta landskap ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan bersama antara MIDA dan Panduit .

Fasiliti tersebut, yang dibuka secara rasmi pada Selasa lepas, menandakan pencapaian penting dalam proses pembuatan, mengukuhkan rantaian bekalan Panduit untuk menyampaikan produk pengikat kabel terkemuka di samping memenuhi permintaan pelanggannya yang semakin bertambah. 

Kilang berkeluasan 25,083 meter persegi itu akan mewujudkan 184 peluang pekerjaan baharu menjelang akhir 2024.

Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Panduit Asia Pasifik, Harry Woo berkata keputusan strategik untuk membina kilang baharu di Johor Bahru akan membantu syarikat terus berdaya saing sambil mengekalkan kehadiran strategiknya di kawasan itu dan memastikan perkhidmatan yang berterusan kepada pelanggan.

Penggunaan plastik kejuruteraan dalam proses pembuatan syarikat itu turut sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, yang mengalakkan industri bernilai tambah tinggi dengan teknologi termaju.

Ditubuhkan pada 1955, Panduit yang beribu pejabat di Illinois, AS telah beroperasi di 112 lokasi di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan