AM

Dua Strategi Utama Jayakan Tahun Melawat Johor 2026

15/05/2024 01:58 PM

ISKANDAR PUTERI, 15 Mei (Bernama) -- Menaik taraf infrastruktur pelancongan serta menggerakkan promosi semua produk pelancongan di Johor secara agresif merupakan dua strategi utama untuk menjayakan agenda Tahun Melawat Johor 2026.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata menerusi Belanjawan Johor 2024 sebanyak RM67.6 juta telah diperuntukkan bagi pembangunan dan menaik taraf infrastruktur pelancongan.

"Terdapat sepuluh projek pembangunan infrastruktur pelancongan yang akan siap tahun ini. Antaranya adalah naik taraf kemudahan dan pembinaan baharu bumbung kanopi di kompleks pelawat Air Terjun Gunung Ledang, menaik taraf laman tiba Taman Negara Johor, Tanjung Piai dekat Pontian, kemudahan infrastruktur penginapan dan kompleks pelawat di Taman Negara Johor Endau-Rompin Peta.

"Selain menaik taraf kemudahan sistem pembentungan di kawasan penginapan dan kawasan pembinaan trail head di Taman Negara Johor Gunung Ledang, penanda arah baharu di setiap Taman Negara Johor, kemudahan sedia ada di Taman Eko Rimba Sungai Bantang, Segamat dan Gunung Belumut, Kluang.

"Turut dinaik taraf pembinaan trek basikal gunung atau mountain bike di Hutan Simpan Gunung Pulai, Kulai untuk penganjuran sukan bertaraf antarabangsa, Zoo Johor, bangunan Muzium Tokoh Johor dan kemudahan asas dan infrastruktur Pantai Air Papan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anuar Abd. Manap (BN-Pemasni), Azizul Bachok (BN-Tiram), Datuk Mohamad Najib Samuri (BN-Parit Yaani), Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) Amira Aisya Abd. Aziz (MUDA-Puteri Wangsa), Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya), Ng Yak Howe (PH-Bentayan).

Onn Hafiz (BN-Tanjung Machap) berkata pada 2025, terdapat empat projek akan siap dinaik taraf  membabitkan Dataran Tasik Bandar Penawar, Kota Tinggi, Pantai Teluk Mahkota dan pembangunan River Cruise di Kota Tinggi, Kampung Sungai Melayu dan Tapak Perkhemahan,Taman Permainan Dan Kolam Mandi di Hutan Bandar MBJB dan pembinaan Perkampungan Seramik di Pasir Gudang.

Beliau berkata promosi yang akan dilakukan secara agresif tahun hadapan menggariskan enam inisiatif pemasaran dan promosi antaranya memperhebat kempen promosi serta pengiklangan di dalam dan luar negara selain penganjuran acara pelancongan bertaraf antarabangsa di Johor.

Selain itu, katanya penyertaan dalam siri promosi pelancongan turut dipertingkatkan sama ada di dalam atau luar negara, melaksanakan bantuan insentif kepada pemain industri pelancongan negeri, memberi penekanan kepada segmen pelancongan fokus dan penganjuran Program Familiarization (FAM Trip) yang lebih berfokuskan pasaran.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan