EKONOMI

Syarikat Sarung Tangan Ialah Kaunter Paling Aktif Selepas Kenaikan Tarif As

15/05/2024 12:42 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Top Glove Corporation Bhd, Supermax Corporation Bhd dan Careplus Group Bhd merupakan kaunter aktif di Bursa Malaysia hari ini, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengumumkan kenaikan tarif yang mendadak ke atas produk import China semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata keputusan Biden akan menyebabkan tarif sarung tangan getah bagi perubatan dan pembedahan dari China meningkat kepada 25 peratus pada 2026 daripada paras semasa 7.5 peratus di AS.

“Tarif yang lebih tinggi ini dijangka merapatkan jurang harga di antara Malaysia dan sarung tangan China, menjadikan sarung tangan buatan Malaysia lebih menarik di AS (pasaran eksport utama),” katanya kepada Bernama.

Beliau juga percaya pengumuman itu mungkin merangsang pasaran dalam beberapa hari akan datang.

Pada 11.47 pagi, saham Top Glove naik 26 sen kepada RM1.22, dengan 349.58 juta saham diniagakan; Supermax melonjak 17.5 sen kepada RM1.04, dengan 190.29 juta saham bertukar tangan; manakala Careplus meningkat 6.5 sen kepada 37 sen, dengan 13.16 juta saham diurus niaga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan