KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Aktiviti pasaran harta tanah negara pada suku pertama tahun ini merekodkan pertumbuhan positif, dengan lebih 100,000 transaksi bernilai RM56.53 bilion, iaitu lonjakan nilai transaksi 34.3 peratus berbanding suku pertama tahun lepas.
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Abdul Razak Yusak berkata pada suku tahun tersebut, semua subsektor mencatatkan pertumbuhan positif - komersial sebanyak 33.4 peratus, kediaman (16.6 peratus), industri (14.3 peratus), pertanian (13.7 peratus) dan tanah pembangunan serta lain-lain (10.7 peratus).
“Subsektor kediaman terus mendominasi hampir 60 peratus aktiviti pasaran harta tanah dengan lebih 62,000 transaksi bernilai lebih RM25 bilion.
“Kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah masih menguasai pasaran dengan 33,500 jumlah transaksi dicatatkan, melebihi 50 peratus daripada jumlah transaksi,” katanya ketika membentangkan laporan Pasaran Hartanah bagi Suku Pertama 2024 dalam siaran langsung di laman Facebook hari ini.
Katanya aktiviti pembinaan turut menunjukkan perkembangan positif pada suku tahun tersebut apabila projek mula dibina meningkat kepada lebih 21,300 unit, meningkat hampir 8 peratus daripada tahun sebelumnya manakala pembangunan baharu yang dirancang berkurangan kepada sekitar 11,000 unit.
Pelancaran baharu kediaman pula mencapai hampir 5,600 unit, meningkat hampir 19 peratus, dengan prestasi jualan mencatat kadar 20 peratus berbanding suku pertama 2023.
Segmen pangsapuri khidmat pula, katanya menunjukkan peningkatan drastik, dengan unit siap dibina meningkat sehingga 70 peratus atau 5,500 unit manakala projek mula bina dan pembangunan baharu yang dirancang, masing-masing meningkat lebih 100 peratus berbanding suku tahun yang sama pada 2023.
Bagi Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM), Abdul Razak berkata ia berada pada paras 216.9 mata atau sekitar RM468,000 seunit, dengan pertumbuhan tahunan 0.5 peratus.
“Semua negeri mencatatkan pertumbuhan positif sederhana antara 0.5 dan 4.6 peratus kecuali Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Sarawak yang mencatatkan penguncupan antara 0.2 dan 2 peratus.
“Rumah teres kekal stabil dengan pertumbuhan positif 1.8 peratus manakala jenis rumah lain merekodkan penurunan marginal,” katanya.
Beliau berkata unit kediaman yang tidak terjual menunjukkan penurunan kepada hampir 24,000 unit bernilai RM16.5 bilion berbanding hampir 26,000 unit bernilai RM17.7 bilion pada suku tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, katanya pangsapuri khidmat yang tidak terjual meningkat 5 peratus dari segi bilangan dan hampir 10 peratus dalam nilai, dengan jumlahnya mencecah 21,000 unit bernilai hampir RM18.2 bilion.
“Unit pangsapuri khidmat berharga RM500,000 hingga RM1 juta adalah penyumbang terbesar iaitu 58 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata prestasi pejabat binaan khas milik persendirian dan kompleks perniagaan merekodkan peningkatan marginal.
“Kadar penghunian pejabat binaan khas milik persendirian mencatatkan 72 peratus berbanding 71.9 peratus manakala kompleks perniagaan merekodkan 77.6 peratus berbanding 77.4 peratus pada suku tahun sebelumnya,” katanya.
-- BERNAMA=
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial