EKONOMI

ANWAR TEGASKAN TIDAK KEPADA KASINO KEDUA DI MALAYSIA

14/05/2024 08:53 PM

Oleh Nor Baizura Basri

DOHA, 14 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tegas berkata “tidak” kepada idea kemungkinan kasino kedua di Malaysia.

Bercakap pada Forum Ekonomi Qatar (QEF) 2024 di sini pada Selasa, beliau berkata Malaysia kini menumpukan sektor transformasi digital, peralihan tenaga serta kecerdasan buatan (AI).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semua sektor itu, antara lain, memadai untuk mendorong pertumbuhan masa depan.

Beliau berkata justeru, di bawah pentadbirannya, tiada keperluan untuk (lesen) kasino kedua di Malaysia.

“Sama sekali tidak! Malaysia tidak perlu terlibat dalam perniagaan kasino (kedua). Kami menumpukan transformasi digital, peralihan tenaga (dan) AI, dan kami percaya ini adalah (antara industri yang) mencukupi untuk memacu negara ke hadapan,” katanya ketika menjawab soalan moderator Haslinda Amin dalam sesi pleno di sini.

Anwar ditanya sama ada Malaysia mempertimbangkan untuk membenarkan (lesen) kasino kedua di bawah Kerajaan MADANI.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkali-kali menafikan laporan berita asing mengenai kemungkinan mengeluarkan lesen kasino kedua di Forest City, Iskandar Puteri, Johor.

Malaysia telah memberikan hanya satu lesen kasino, yang dikeluarkan kepada Genting pada 1969. Syarikat itu juga mempunyai operasi kasino di United Kingdom, Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.

Anwar berkata meskipun Malaysia mempunyai pendirian tegas dalam isu Palestin-Israel namun hal itu tidak menjejaskan perniagaan, dan negara terus menarik pelaburan baharu.

“Saya berpandangan (pendirian kami) sangat jelas. (Contohnya) Kami sangat kukuh dalam hubungan kami dengan China. Saya tidak bersetuju dengan xenofobia ini. Kami telah menjadi sekutu tradisional. Kebanyakan pelaburan kami, di negeri yang berbeza, masih mengalir masuk.

“Saya jelaskan, Jerman, sudah tentu Timur Tengah, malah dari AS oleh Microsoft, Google, mereka semua berada (di Malaysia) dan mereka aktif datang ke Malaysia dan kami mengalu-alukan mereka,” katanya ketika ditanya sama ada pendirian teguh Malaysia terhadap Palestin telah menjejaskan hubungannya dengan rakan dagangan atau pelaburan.

Anwar turut menekankan bahawa Malaysia terkenal dengan semikonduktor di rantau ini.

“Sebahagian sebab kejayaan Malaysia dalam industri semikonduktor adalah dengan sokongan yang diterima dari AS.

“Kami berbeza (pendirian) dengan beberapa dasar mereka...tetapi secara keseluruhan, mereka (AS) masih sebagai rakan,” katanya.

Penyertaan Anwar pada edisi keempat QEF adalah sebahagian daripada lawatan rasmi tiga hari beliau ke Qatar, yang berakhir hari ini,

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan